the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, June 27, 2026
22.4 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

RM9.4 juta Bantuan Musim Tengkujuh disalur kepada peneroka tanaman getah Felda

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyalurkan peruntukan berjumlah RM9.4 juta bagi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada 11,784 peneroka tanaman getah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang layak di seluruh negara.

Felda dalam kenyataan hari ini memaklumkan bantuan yang disalurkan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) berjumlah RM800 bagi setiap peneroka tanaman getah itu akan diberikan dalam tiga fasa bermula pada Disember 2023 sehingga Februari 2024.

“Bayaran fasa pertama melibatkan nilai RM400 manakala fasa kedua dan ketiga masing-masing melibatkan nilai RM200. Kesemua bayaran ini akan dibuat secara terus ke akaun bank peneroka terlibat.

“Peneroka tanaman getah yang layak menerima bantuan ini ialah mereka dengan lot utama getah yang menghantar hasil ke pusat mengumpul getah Felda, mereka yang tiada hasil kerana isu buruh atau serangan penyakit pokok getah, serta mereka yang sedang dalam tempoh tanam semula bersama Felda,” menurut kenyataan itu.

Menurut Felda, bantuan ini diharap dapat meringankan beban peneroka tanaman getah terutamanya dalam menghadapi musim tengkujuh.

Felda dalam kenyataan sama turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan menyediakan peruntukan BMT untuk peneroka Felda yang sebelum ini ditanggung sepenuhnya menggunakan dana dalaman Felda. -Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings