the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, June 28, 2026
28.5 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

ASEAN-Jepun boleh memainkan peranan penting ke arah penyelesaian konflik Palestin-Israel

TOKYO: Secara kolektifnya, ASEAN dan Jepun boleh memainkan peranan penting dalam kalangan komuniti global ke arah penyelesaian konflik Palestin-Israel yang aman dan bertahan lama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut memaklumkan bahawa kesemua negara anggota ASEAN dan Jepun, telah mengundi untuk menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 12 Dis, yang menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera, bantuan kemanusiaan dan pembebasan terbusan.

“Seterusnya kita perlu bekerjasama ke arah memastikan tuntutan ini direalisasikan,” katanya dan menambah kemusnahan yang dilakukan Israel di Gaza, sama seperti pengguguran bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada Perang Dunia ke-2.

Anwar berkata demikian semasa berucap pada agenda pertama Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun bertemakan Kajian semula hubungan ASEAN-Jepun dan agenda kedua bertemakan Rakan Kongsi untuk Keamanan, Kestabilan dan Isu Serantau dan Antarabangsa di Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun di sini hari ini.

Beberapa pemimpin ASEAN lain termasuk Perdana Menteri Thai Srettha Thavisin dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, dalam ucapan mereka semasa agenda itu juga telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap Gaza dan keperluan untuk gencatan senjata segera.

Sementara itu, Anwar juga berkata memandangkan polikrisis global yang berterusan dan kerumitan yang semakin meningkat dalam persekitaran strategik perkumpulan dengan 10 ahli itu, peranan kerjasama ASEAN-Jepun dalam mengharungi cabaran itu menjadi lebih penting.

Kerjasama erat dan banyak inisiatif yang dilaksanakan melalui ASEAN Outlook mengenai Indo-Pasifik dan Jepun Bebas dan Indo-Pasifik Terbuka, mencerminkan komitmen kuat kedua-dua pihak untuk mengeratkan hubungan dan mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini.

Beliau berkata walaupun ASEAN berusaha untuk memastikan rantau ini kekal aman dan stabil, ia tidak boleh mengabaikan ancaman keselamatan dari bahagian lain dunia.

Dunia telah menyaksikan marginalisasi sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan mengabaikan undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berterusan. Penting untuk ASEAN dan Jepun bekerjasama, bersama dengan negara-negara yang berpandangan sama, untuk mengukuhkan multilateralisme dan mendukung peraturan berasaskan kepada undang-undang antarabangsa.

“Kesan terhadap kerosakan dalam Orde Dunia ini ke atas kita terlalu menakutkan untuk difikirkan,” katanya.

Anwar turut menyentuh mengenai senjata nuklear yang Malaysia lihat sebagai sesuatu yang memudaratkan manusia.

“Malaysia percaya bahawa kewujudan senjata nuklear yang berterusan menimbulkan risiko penggunaannya, sama ada secara sengaja atau tidak,” katanya.

Dalam konteks rantau ini, Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara berfungsi sebagai instrumen pelucutan senjata dan ketakcambahan di rantau ASEAN, yang selaras dengan Perkara VII NPT (Non-Proliferation Treaty).

Ketika merujuk kepada Pelan Tindakan Hiroshima Jepun, beliau berkata Malaysia percaya bahawa ASEAN dan Jepun boleh meneroka kerjasama dalam pelucutan senjata, ketakcambahan dan penggunaan tenaga nuklear secara aman dalam konteks global.

Pada agenda yang sama, beberapa negara anggota ASEAN juga telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap Myanmar, dengan Srettha dari Thailand berkata negaranya melakukan yang terbaik untuk membantu dalam krisis kemanusiaan di sempadannya dengan Myanmar dan berusaha untuk penyelesaian dalam rangka kerja Konsensus Lima Perkara.

Sidang itu merupakan kemuncak kepada aktiviti memperingati ulang tahun ke-50 hubungan persahabatan dan kerjasama ASEAN-Jepun. Acara peringatan itu bermula dengan simposium di Jakarta, Indonesia, pada Februari dan di Tokyo pada Mac.

Sepanjang tahun ini, pelbagai acara dan projek telah dianjurkan oleh pihak swasta dan kerajaan bagi memperingati ulang tahun ke-50 itu. Ini termasuk Minggu Perniagaan ASEAN-Jepun pada Jun, Mesyuarat Khas Menteri Kehakiman ASEAN-Jepun pada Julai, dan Dialog Khas Menteri Pelancongan ASEAN-Jepun pada Oktober.–Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Cyber resilience defined by integration, not spend

Higher cybersecurity spending alone is not enough to strengthen Malaysia’s cyber resilience, as fragmented technology environments, the rapid pace of digitalisation, and a shortage of specialised talent continue to limit organisations’ cybersecurity maturity, according to US-based cybersecurity company Palo Alto Networks.

Akmal backs France, Brazil, Portugal for World Cup glory

Akmal believes the trio possess the quality, depth and balance needed to go all the way with France remain among the strongest contenders due to the abundance of attacking options available to the squad.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings