the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, June 23, 2026
23.4 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Belanjawan 2024: K’jaan jaga kebajikan, sedia kediaman bermaruah kepada polis, tentera

KUALA LUMPUR: Inisiatif kerajaan memperuntukkan RM2.4 bilion bagi kerja-kerja pembinaan, penyelenggaraan dan baik pulih kuarters penjawat awam termasuk anggota polis dan tentera, mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyediakan kediaman yang selesa dan bermaruah bagi golongan itu.

Rata-rata anggota tentera dan polis ketika ditemui Bernama berkata pakej-pakej Belanjawan 2024 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, amat menitikberatkan kebajikan ‘pejuang barisan hadapan’ sekali gus, merupakan sesuatu yang amat dinantikan selama ini.

Bagi penghuni Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di Perak, peruntukan itu diharap dapat menambah baik bangunan kuarters sedia ada dan diperbesarkan lagi saiznya demi penghuninya.

Pegawai Kem Komandan Briged Utara (Ibu Pejabat) Insp Mohd Shaparrin Mohammmed berkata peruntukan itu diharap dapat menampung lebih banyak penyelenggaraan bangunan kuarters yang rosak dan usang di kem berkenaan.

“Bagi peruntukan dalam Belanjawan MADANI tahun lepas, bahagian ibu pejabat mendapat peruntukan untuk menambah baik sebuah blok 10 tingkat, dan lima tingkat daripadanya telah dinaik taraf.

“Di blok ini, ia telah dinaik taraf iaitu dua unit rumah dipecah menjadi satu unit rumah supaya dari dua bilik menjadi tiga bilik untuk keselesaan penghuni,” katanya yang juga penyelia kuarters bahagian ibu pejabat itu.

Mohd Shaparrin berharap peruntukan dalam Belanjawan 2024 dapat menaik taraf baki lima tingkat blok berkenaan dan menambah baik blok yang lain, memandangkan kira-kira 200 penghuni pelbagai pangkat mendiami kuarters di beberapa blok dalam kem itu.

Senada dengan pandangan itu, seorang penghuni kuarters di kem berkenaan Mohd Asri Mohd Salim, 40, berharap kuarters bahagian pentadbiran yang didiaminya dinaik taraf berikutan kediamannya kini hanya mempunyai dua bilik dan semakin usang.

“Anak pun dah nak masuk empat orang, jadi saya berharap sangat kuarters untuk petugas pentadbiran ini dinaik taraf sewajarnya dan ditambah biliknya,” katanya yang juga pembantu Hal Ehwal Islam Bahagian Agama dan Kaunseling di kem itu.

Pandangan sama turut dikongsi Kpl Shila Sidek, 39, yang mencadangkan agar usaha baik pulih perlu diberi fokus kepada kuarters lama yang masih mempunyai dua bilik berikutan ia dilihat kurang sesuai bagi anggota yang mempunyai keluarga besar.

Di Melaka, seorang peniaga roti canai Muhammad Hakim Ibrahim, 31, yang mendiami kuarters tentera di Desa Tun Razak, Kem Terendak sejak dua tahun lepas mendakwa masih terdapat kerosakan pada kuarters itu meskipun telah dibaik pulih sebelum ini.

Beliau yang menetap di kuarters itu bersama dua orang anak dan isterinya seorang anggota tentera bersyukur berikutan kuarters itu dilengkapi pelbagai kemudahan namun masih terdapat beberapa isu yang memerlukan perhatian seperti kebocoran bumbung dan sistem perpaipan tersumbat.

“Saya harap di bawah peruntukan yang baharu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas, baik pulih yang lebih sempurna dapat dilaksanakan Kementerian Pertahanan agar kehidupan anggota yang tinggal di kuarters lebih selesa,“ katanya.

Sementara itu, di Sabah, seorang anggota polis di Lahad Datu, Kons Muhammad Addin Nastain Mohd Nor, 26, berkata pembinaan kuarters baharu dapat memberi keselesaan kepada anggota polis terutamanya di kawasan pedalaman.

“Di sini, kami masih tinggal di dalam kabin yang telah dinaik taraf menjadi transit anggota, namun dengan adanya kuarters baharu yang akan dibina, ia akan memberi anggota polis kehidupan yang lebih selesa dan selamat selain mengurangkan kos sara hidup kerana tidak perlu menyewa di luar,“ katanya.

Jumaat lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2024 berkata sejumlah RM2.4 bilion diperuntuk bagi membina dan membaik pulih kuarters penjawat awam.

Beliau berkata jumlah itu turut meliputi proses menyelenggara kediaman guru, polis, tentera dan bomba selain hospital. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Honda LCR unveils striking black-and-gold GOD55 Sports livery for 2026 Italian MotoGP

Honda LCR and GOD55 Sports unveiled a special black-and-gold livery at the 2026 Italian MotoGP in Mugello, marking a milestone in their partnership. The striking design, ridden by returning rider Cal Crutchlow, highlighted the brand's growing presence in global motorsport and fan engagement.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings