KUALA LUMPUR: Persatuan Penguna-Penguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM) mencadangkan agar kerajaan menubuhkan suatu jawatankuasa berkaitan pengangkutan awam bagi menyemak semula peraturan kenaikan tarif dalam Belanjawan 2024.
Presidennya Ajit Johl berkata objektif jawatankuasa itu, yang akan dianggotai semua pihak berkepentingan dan dipengerusikan oleh Kementerian Pengangkutan, adalah bagi memastikan pengangkutan awam tidak dimonopoli dan mampan untuk pengusaha.
“4PAM turut menyarankan pewujudan Tribunal Pengangkutan Awam bagi memastikan pengguna mempunyai kaedah tindakan atau penyelesaian telus yang efektif, efisien dan mesra pengguna.
“Sering kali pengguna bas ekspres mempunyai ruang yang kecil untuk membuat aduan dan terpaksa berurusan dengan pengusaha bas ekspres yang tidak mesra pengguna. Industri pengangkutan awam patut mencontohi lembaga pengantaraan perkhidmatan kewangan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, Ajit turut mencadangkan kepada kerajaan supaya menghapuskan subsidi minyak secara beransur-ansur (25 peratus per annum) dan menggunakan dana itu untuk menambah baik kemudahan pengangkutan awam.
Beliau berkata kerajaan membelanjakan hampir RM50.8 bilion untuk subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) pada 2022 walhal penjimatan subsidi itu boleh digunakan untuk menambah baik dan menaik taraf kemudahan pengangkutan awam.
Selain itu, katanya 4PAM turut menyokong inisiatif kerajaan untuk menyambung semula perbincangan mengenai Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura; menggalakkan penggunaan kereta atau kenderaan elektrik (EV) namun perlu diseimbangkan dengan insentif bagi pengangkutan awam dan turut menyarankan supaya teksi atau industri kongsi tunggangan mengimport kereta yang lebih baik tanpa dikenakan cukai.
Sementara itu, Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM) pula mencadangkan beberapa inisiatif yang melibatkan peruntukan sebanyak RM650 juta kerana menurut gabungan itu, penggiat industri gig Rakan Pemandu E-Hailing dan Rakan Penghantar P-Hailing antara golongan terkesan dalam isu ekonomi global ketika ini.
Antara inisiatif yang dicadangkan itu termasuk Inisiatif Subsidi Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso); Bantuan Skim Insurans Pekerjaan (SIP GIG); Bantuan Skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bantuan pinjaman perniagaan.
“Selain itu, GEM juga mencadangkan bantuan latihan dan peningkatan kemahiran; bantuan subsidi pembaharuan insurans dan cukai jalan; bantuan pinjaman penyelenggaraan kenderaan; serta bantuan subsidi telefon bimbit dan pelan Internet,” katanya.
GEM berkata pihaknya menaruh keyakinan terhadap Kerajaan MADANI untuk membantu kebajikan penggiat industri gig di negara ini menerusi peruntukan yang sesuai dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 13 Okt ini. – Bernama









