the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, June 25, 2026
23.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

29.7 peratus wanita, ahli pengarah di 100 syarikat tersenarai awam

KUALA LUMPUR: Penglibatan wanita sebagai ahli lembaga pengarah di peringkat 100 syarikat tersenarai awam teratas meningkat kepada 29.7 peratus pada 1 April 2023 berbanding 14 peratus pada 2016.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu berkata hanya dua kerusi diperlukan bagi mencapai sasaran 30 peratus untuk 100 syarikat tersenarai awam teratas.

“Ini adalah hasil daripada inisiatif Suruhanjaya Sekuriti yang telah menambah baik kod tadbir urus urusan korporat Malaysia pada 2021 yang semua syarikat tersenarai awam telah diwajibkan untuk melantik sekurang-kurangnya seorang ahli lembaga pengarah daripada kalangan wanita.

“Inisiatif ini telah berkuat kuasa pada 1 Sept 2022 bagi syarikat bermodal besar dan pada 1 Jun 2023, bagi syarikat tersenarai yang lain-lain,“ katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh tentang statistik semasa penglibatan wanita bagi jawatan utama kerajaan dan juga selaku pembuat keputusan untuk sektor swasta.

Aiman Athirah berkata statistik Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menunjukkan statistik wanita di peringkat pengurusan tertinggi dalam sektor perkhidmatan awam ialah 38.8 peratus hingga Dis 2022.

Beliau berkata 21 peratus iaitu 204 syarikat daripada 979 syarikat tersenarai awam mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam kalangan ahli lembaga pengarah manakala 24 peratus daripada syarikat berkaitan kerajaan mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat sama.

Selain itu, beliau berkata nisbah bilangan wanita di peringkat tertinggi iaitu barisan kepimpinan utama seperti jawatan ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai kewangan, ketua pegawai teknikal dan ketua pegawai operasi di syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat tersenarai awam telah melepasi sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita.

Beliau berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai strategi untuk menyokong usaha mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan.

Katanya, ini merangkumi tiga cabang strategi iaitu penambahbaikan perundangan dan dasar bagi menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk wanita, menyediakan ekosistem yang menyokong penglibatan wanita serta menyediakan peluang dan akses kepada latihan bagi meningkatkan kesedaran serta kolaborasi bersama pihak berkepentingan. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings