Sarawak memutuskan untuk tidak mengeksport unsur nadir bumi kerana ia sumber strategik untuk pembangunan teknologi negeri.
SEMATAN: Sarawak mengambil keputusan untuk tidak mengeksport sumber unsur nadir bumi dari negeri itu, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata REE merupakan sumber penting yang mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan bagi pembangunan ekonomi negeri.
“Kita di Sarawak memang mempunyai sumber REE, namun kita tidak akan mengeksportnya kerana ia merupakan komponen ekonomi penting untuk membangunkan bahan-bahan berkaitan teknologi,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Sarawak di sini.
Media sebelum ini melaporkan bahawa menurut rekod Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Sarawak antara 10 negeri yang dikenal pasti berpotensi memiliki REE bukan radioaktif dengan anggaran nilai sebanyak RM809.6 bilion.
Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak akan membentangkan satu Rang Undang-Undang berkaitan pengurusan sisa buangan pada persidangan DUN pada awal Disember depan.
Beliau berkata undang-undang itu antara lain bertujuan untuk membolehkan sisa buangan dijadikan sumber ekonomi melalui kitar semula.
“Sisa ini perlu diuruskan dengan baik. Sebenarnya, sisa berpotensi untuk kita dijadikan sumber duit kepada negeri,” katanya. – Bernama










