KUALA LUMPUR: Seorang bekas kontraktor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tujuh pertuduhan memalsukan invois dan pesanan penghantaran berhubung mesin pemerah susu dan pembekalan lembu bernilai lebih RM3 juta, lapan tahun lepas.
A.Dominic Antoni, 52, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia di Wisma Tani, Presint 4, Putrajaya, antara 5 Jan dan 25 Mac 2016.
Bagi dua pertuduhan pertama, dia didakwa mengemukakan dua pesanan penghantaran yang mengandungi pernyataan palsu kepada Penolong Pegawai Veterinar membabitkan pesanan bekas pemerah susu mudah alih dan mesin penyejuk susu lembu berjumlah RM1.55 juta yang sebenarnya tidak pernah dibekalkan.
Dia juga didakwa dengan empat pertuduhan mengemukakan pesanan penghantaran dan invois mengandungi pernyataan palsu di lokasi sama antara 16 April 2015 dan 5 Sept 2017 berhubung pembekalan 441 ekor lembu yang mana 171 daripadanya bernilai RM1.96 juta tidak pernah dibekalkan.
Bagi pertuduhan ketujuh, tertuduh didakwa mengemukakan pesanan penghantaran mengandungi pernyataan palsu juga di tempat sama antara 15 Sept 2015 dan 17 Dis 2015 berhubung pembekalan tempat memerah susu bernilai RM350,000 yang mana sebenarnya tidak pernah dibekalkan.
Kesemua pertuduhan itu mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.
Peguam Karthigesan Shanmugam memohon jaminan munasabah kerana anak guamnya telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang siasatan kes.
Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai serta menetapkan 12 Julai ini untuk sebutan semula kes. – Bernama








