KUALA LUMPUR: Charles Hay (gambar), Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia mahu melihat sektor perundangan Malaysia dibuka kepada firma guaman dan peguam asing.
Beliau berkata pada masa ini, peguam asing menghadapi sekatan di bawah Akta Profesion Undang-undang Malaysia 1976, yang memerlukan mereka bekerjasama dengan firma tempatan untuk mengamalkan undang-undang tempatan.
“Sektor perundangan Malaysia masih agak tertutup dan peluang untuk penyertaan asing dalam sektor itu di Malaysia kekal terhad.
“Saya suka melihat sektor perundangan Malaysia dibuka, bukan sahaja untuk peguam Britain, malah untuk negara lain seperti New Zealand, Australia dan Amerika Syarikat datang dan beroperasi,” katanya kepada Bernama semasa majlis makan tengah hari perpisahan untuk Hay yang dihoskan oleh Pengerusi Persatuan Komanwel Diraja Malaysia Kesavan Muniandy, di sini, baru-baru ini.
Hay yang akan pulang ke London pada Julai selepas berkhidmat lebih empat tahun di Malaysia percaya Malaysia berpotensi menjadi hab serantau bagi perkhidmatan undang-undang kerana para peguamnya yang cemerlang, mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang tinggi dan sistem common law yang diwarisi daripada mahkamah Inggeris.
Sambil menekankan minat peguam British dalam mengamalkan undang-undang komersial dan terlibat dalam perjanjian komersial di Malaysia, Hay berkata pembukaan pasaran sektor perundangan mampu menawarkan manfaat yang besar untuk negara.
Beliau berkata London kini menjadi tuan rumah kepada kira-kira 200 pengamal undang-undang asing, termasuk beberapa dari Malaysia, dan menyatakan harapan bahawa kerajaan Malaysia akan membuka dan membenarkan firma dan peguam asing beroperasi di negara ini.
Hay mengakui beliau tidak berjaya memujuk pihak berkaitan berhubung pembukaan pasaran undang-undang Malaysia dan berharap penggantinya akan menangani perkara itu dengan serius dengan menekankan mengenai potensi manfaat yang bukan sahaja untuk peguam asing bahkan untuk profesional undang-undang Malaysia.
Ketika ditanya mengenai peristiwa paling penting yang pernah dilihatnya sepanjang tempoh perkhidmatannya, Hay menyebut penyertaan United Kingdom dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) sebagai acara penting dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan UK.
“Perkembangan ini membuka pintu untuk perjanjian perdagangan antara kedua-dua negara buat kali pertama, selepas dua tahun berunding,“ kata Hay.
Diplomat itu berkata beliau juga telah memperjuangkan isu perubahan iklim dan alam sekitar, sambil menekankan bahawa UK akan terus menyokong Malaysia dalam perjalanan peralihan iklim dan pembangunan strategi tindakan iklim jangka panjang.
Ini, katanya, termasuk komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih seawal 2050.
Hay juga berkata beliau merasai keistimewaan berkhidmat di bawah Yang-di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan memperoleh penghormatan untuk mengiringi Duli Yang Maha Mulia dalam beberapa lawatan ke UK.
“Saya telah melihat secara langsung kekuatan hubungan antara keluarga Diraja Malaysia dan Britain sepanjang tempoh saya di sini,” kata Hay yang mempelajari bahasa Melayu semasa di peringkat awal bertugas di Malaysia di sebuah homestay di Johor Baharu.
Diplomat itu juga kagum dengan jumlah penerima biasiswa Chevening di Malaysia dengan kira-kira 40 sarjana dari Malaysia mendapat manfaat daripada program biasiswa global kerajaan UK setiap tahun. – Bernama








