KOTA BHARU: Sebanyak 603 masjid yang berada di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) tidak pernah dijadikan tempat berpolitik, kata Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Beliau berkata MAIK tidak pernah mengizinkan mana-mana pihak menjadikan masjid sebagai tempat gelanggang politik sejak institusi agama itu ditubuhkan pada 1915.
“Politik memang tidak boleh diasingkan daripada Islam, namun parti politik itu mesti diasingkan daripada masjid. Individu yang hendak berceramah atau mengajar di dalam masjid perlu ada tauliah.
“Perkara ini dikawal oleh MAIK yang berperanan sebagai institusi mengawal serta menjaga daripada apa-apa yang boleh menganggu-gugat sehingga menimbulkan kegelisahan dalam masjid,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Peringatan 150 Tahun Masjid Muhammadi (1867-2017) di Perpustakaan MAIK di sini hari ini.
Menurut Mohamad Shukri kerajaan negeri juga sentiasa melakukan pemantauan bagi mengelak masjid digunakan untuk kepentingan parti dan setakat ini masjid di Kelantan bebas daripada dicemari elemen kepartian.
“Oleh itu, pihak pengurusan masjid perlu memastikan hanya penceramah memiliki tauliah mengajar agama daripada MAIK sahaja dibenarkan menyampaikan ceramah seperti yang termaktub dalam Seksyen 91 Enakmen MAIK,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata buku Peringatan 150 tahun Masjid Muhammadi dilancarkan sebagai memperingati jasa masjid berkenaan yang berperanan sebagai institusi pendidikan dalam melahirkan tokoh-tokoh Islam, selain membantu membina tamadun Kelantan secara khusus dan meluas. – Bernama









