KUALA LUMPUR: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen antara 2019 hingga Februari lepas.
S. Anthony Raj, 42, didakwa menjalankan urus niaga pinjaman wang tanpa lesen dengan memberi pinjaman RM310,250 kepada D.P Sudhakaran, 57, di Menara Sentral Vista, Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields di sini pada 21 Nov 2019 sehingga 28 Feb lepas.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara selama lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis sehingga kes selesai.
Peguam G. Nanda Goban yang mewakili Anthony Raj memohon jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama baik dengan pihak polis serta hadir sendiri ke mahkamah hari ini.
Hakim Datin Sabariah Othman membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 14 Nov ini untuk sebutan kes.-Bernama









