the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, June 28, 2026
26.4 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Tak patuh tahap kebersihan : Tiga kilang makanan diarah tutup

MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengarahkan tiga premis kilang makanan di negeri itu ditutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983, berikutan tidak mematuhi tahap kebersihan ditetapkan dalam operasi bersepadu hari ini.

Pengarah Kesihatan Melaka Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata tiga kilang diarah tutup itu memproses tofu, ais krim dan susu tepung, yang beroperasi di kawasan Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub di Serkam dan kawasan perindustrian Jasin.

Beliau berkata tiga kilang terbabit juga, antara 73 kilang memproses makanan diperiksa jabatan berkenaan sepanjang tahun ini.

“Sehingga hari ini juga, Jabatan Kesihatan negeri mengeluarkan 58 kompaun membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 berjumlah RM47,350.

“Selain itu sepuluh premis membabitkan kilang memproses mee, tofu, susu tepung, ais krim dan yogurt, juga dikenakan kompaun berjumlah RM25,000 di bawah Peraturan 9 iaitu premis pengilangan makanan tidak menyediakan atau mengadakan satu Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rusdi berkata operasi dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) bersama Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) itu, bagi memastikan semua kilang di Melaka mendapatkan persijilan sekurang-kurangnya Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

Beliau berkata perkara itu selaras dengan kehendak Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu di bawah Peraturan 9, yang mewajibkan setiap pemilik premis pengilangan makanan menyedia dan mengadakan satu PJKM.

“PJKM ini merupakan satu sistem amalan terancang yang didokumenkan dan memberi jaminan mana-mana jenis makanan tertentu tidak akan memudaratkan pengguna apabila dimakan.

“Antara PJKM yang telah diperkenalkan kepada premis terlibat dalam pengilangan makanan adalah seperti Amalan Pergilangan Baik (GMP), Analisis Bahaya dan Kawalan Titik Kritikal (HACCP), MeSTI dan sebagainya,” katanya.

Katanya orang ramai turut dinasihatkan supaya bijak memilih produk makanan mempunyai label dan maklumat yang betul, serta logo persijilan diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sebarang aduan mengenai premis pengilangan makanan kotor serta makanan yang dijual rosak, boleh disalurkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau laman sesawang http://moh.spab.gov. my.-Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings