Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tekad hormati kebebasan media dan hargai peranan wartawan sampaikan maklumat tepat.
PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan komitmennya untuk sentiasa menghormati kebebasan media serta menghargai peranan penting pengamal media dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada rakyat.
KPKT menghargai sumbangan media tempatan dan antarabangsa melalui liputan yang diberikan serta menghormati kebebasan wartawan untuk mengemukakan pertanyaan sepanjang sidang media.
Pihak yang menjawab soalan juga wajar mempunyai ruang untuk memberi respons kepada setiap persoalan yang diajukan.
Teguran secara berhemah bagi memastikan ketepatan fakta dan kefahaman bersama juga adalah kaedah kebersamaan demi mencapai objektif program serta dasar kerajaan.
BACA: KPKT lancar projek pencahayaan hiasan bandar ‘I Lite U’ untuk TMM2026
Sidang media yang diadakan bagi pelancaran Projek Inovasi Pencahayaan ke Arah Kelestarian Bandar Tahun Melawat Malaysia 2026 atau I LITE U antaranya bertujuan memperkukuh usaha promosi pelancongan negara.
Inisiatif ini juga bertujuan menarik perhatian pelancong antarabangsa terhadap keunikan dan daya tarikan ikonik khususnya di ibu negara.
Sebagai tanda komitmen dalam menjunjung martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, keseluruhan sidang media oleh Nga dijalankan dalam Bahasa Melayu.
Ucapan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif juga disampaikan dalam Bahasa Melayu.
Pada 29 Oktober, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Meng dilapor telah mengugut seorang wartawan selepas dia bertanya mengenai penggunaan bahasa Inggeris bagi tema pelancongan I LITE U.
Susulan itu, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia dan Gerakan Media Merdeka semalam mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan menteri berkenaan.
Hari ini Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata wartawan berhak mengemukakan apa jua soalan dalam menjalankan tugas mereka.
Beliau menekankan prinsip keterbukaan dan saling menghormati antara media dan kerajaan.
Fahmi juga memaklumkan bahawa perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri. – Bernama










