KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas lebih 52.46 kilogram dadah jenis Methamphetamine bernilai lebih RM1.88 juta dalam serbuan di sebuah rumah di sini Khamis lepas.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan berkata serbuan pada pukul 12.12 tengah hari itu adalah hasil risikan selama dua bulan serta maklumat daripada orang awam, dan ia merupakan rampasan dadah terbesar di Sabah tahun ini.
Beliau berkata seorang penganggur berumur 37 tahun yang berada di dalam rumah itu ditahan bagi membantu siasatan, dan dadah itu dipercayai untuk kegunaan di dalam serta luar Sabah.
“Modus operandi kes ini adalah menjadikan rumah itu sebagai tempat membungkus bahan yang disyaki dadah, yang dimasukkan plastik teh dan seterusnya melalui proses kedap udara dengan jumlah berat tertentu.
“Bahan disyaki dadah yang telah siap dibungkus disembunyikan di dalam peralatan elektrik dapur dan disimpan di dalam kotak peralatan elektrik dapur itu bagi tujuan mengaburi mata pihak penguatkuasa,” katanya pada sidang media di Menara Kastam di sini hari ini.
Zazuli seterusnya meminta orang ramai memberi kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. – Bernama








