Monday, November 3, 2025
24.9 C
Malaysia
spot_img

DAP ulangi pendirian sokong pilihan raya serentak untuk jimat kos

The Sun Webdesk

DAP kekal sokong pilihan raya serentak Persekutuan dan negeri untuk kecekapan dan penjimatan kos, kata Setiausaha Agung Anthony Loke

SEGAMAT: DAP hari ini mengulangi pendiriannya menyokong pelaksanaan pilihan raya serentak pada peringkat Persekutuan dan negeri bagi memastikan kecekapan serta penjimatan kos pengurusan pilihan raya.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook menyatakan keputusan membubarkan Parlimen merupakan kuasa mutlak Perdana Menteri.

Beliau menegaskan DAP sebagai parti dominan dalam kerajaan akan memberikan pandangan untuk menyelaras pembubaran jika pilihan raya serentak mahu dilaksanakan.

“Sama ada kita akan buat pilihan raya serentak, saya tak tahulah…sebab bila nak membubarkan Parlimen itu kuasa Perdana Menteri, tetapi sebagai dominan parti, sudah tentu kita menyokong idea untuk mengadakan pilihan raya serentak,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2025.

Loke berkata beberapa negeri bakal melalui tempoh tamat penggal termasuk Melaka pada Disember 2026, Sarawak pada Februari 2027 dan Johor pada April 2027.

Beliau menjelaskan keadaan ini mewujudkan ruang teknikal untuk penyelarasan pembubaran dengan Parlimen jika ia ditetapkan lebih awal.

“Kalau nak diadakan pilihan raya serentak, maka Parlimen perlu dibubarkan lebih awal untuk memberikan laluan kepada pilihan raya serentak,” katanya.

Loke menekankan penyelarasan tersebut memberi kesan positif dari segi praktikaliti dan kos.

Beliau khususnya menyebut logistik di Sarawak yang memerlukan belanja lebih besar bagi penganjuran pilihan raya berasingan.

“Dari segi praktikaliti, ia dapat menjimatkan kos…dan kita harap ini dapat diseragamkan dan disatukan supaya kos negara dapat dikurangkan,” katanya.

Mengulas kerjasama politik menghadapi pilihan raya akan datang, beliau berkata perbincangan mengenai model kerjasama belum dimuktamadkan.

Beliau menegaskan DAP akan menyesuaikan strategi melalui semangat perjuangan yang konsisten.

“Apa sahaja percaturan, apa sahaja model kerjasama, kita akan berjuang habis-habisan, tak perlu kita bimbang,” katanya.

Loke berkata DAP Johor memiliki kekuatan asas yang perlu dipertahankan termasuk lima kerusi Parlimen dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dimenangi parti itu pada pilihan raya lepas.

Beliau menyatakan rundingan bersama Pakatan Harapan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diteruskan.

Tujuan rundingan tersebut adalah untuk memastikan formula paling berkesan dirangka bagi menjamin kestabilan negara, pengukuhan tadbir urus dan manfaat rakyat.

“Yang paling penting, negara kita terus stabil, negeri kita terus maju dan ada cara untuk kita pastikan bahawa keputusan yang paling baik untuk rakyat dapat kita laksanakan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching mengumumkan pelantikan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan merangkap Timbalan Pengerusi DAP Johor Wong Shu Qi sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi PRU16 dan PRN Johor.

Teo berkata Ahli Parlimen Kluang itu akan dibantu Setiausaha DAP Johor Andrew Chen Kah Eng, Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali serta Ahli Jawatankuasa DAP Liow Cai Tung.

“Saya percaya bahawa di bawah pimpinan Wong Shu Qi, mereka ini akan merangka strategi dan bagaimana kami akan bersiap sedia untuk hadapi pilihan raya akan datang,” katanya. – Bernama

Related

spot_img

Latest

A well-oiled machinery & equipment sector: The silent strength powering Malaysia’s semiconductor manufacturing excellence

KUALA LUMPUR, MALAYSIA - Media OutReach Newswire - 3 November 2025 - In the global semiconductor race, the loudest voices don't always belong to those doing the heaviest lifting. While headlines trumpet chip breakthroughs and billion-dollar fabs, Malaysia has been quietly perfecting something far more fundamental: the machinery and equipment that makes it all possible.

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img