the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, June 25, 2026
21.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Dakwaan polis ‘tutup mata’ kes judi, pelacuran, satu fitnah – Ketua Polis Perak

IPOH: Polis Perak menafikan dakwaan bahawa pihaknya ‘menutup mata’ dengan tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan perjudian dalam talian dan pelacuran yang dikatakan berlaku di beberapa daerah di negeri ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata dakwaan pemilik akaun Twitter Edisi Khas itu, yang turut mengatakan ramai polis mengambil kesempatan atas kegiatan tersebut dengan menerima rasuah, adalah tidak benar dan merupakan fitnah kepada anggota dan pegawainya.

Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kes perjudian dan pelacuran di negeri ini.

“Dia patut tampil untuk memberi maklumat supaya kita boleh bertindak. Jangan baling batu sembunyi tangan. Kalau betul, kita ada pihak tertentu yang akan buat siasatan.

“Kalau dia takut hendak memberi maklumat, gunalah saluran yang betul, ada akta yang boleh melindungi dia tanpa orang mengetahui identiti pelapor. Sesiapa yang ada maklumat berkenaan kegiatan haram di negeri Perak boleh tampil berikan maklumat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata semua ketua polis daerah di negeri ini telah diarahkan untuk mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan berkenaan sekiranya berlaku di daerah masing-masing, malah serbuan ke atas pusat hiburan juga diadakan secara berkala.

Menurut Mior Faridalathrash, pihaknya turut meminta pihak berkuasa tempatan di kawasan terlibat untuk membatalkan lesen premis pusat hiburan yang menggajikan warga asing sebagai pelayan pelanggan (GRO).

Semalam, pemilik akaun Twitter itu memuat naik ciapan mendakwa beberapa daerah di Perak iaitu Manjung, Batu Gajah, Ipoh dan Teluk Intan, sudah dibanjiri dengan kedai judi dalam talian dan pelacuran, namun tiada tindakan diambil oleh pihak polis.

Ciapan itu turut mendakwa pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima rasuah daripada sindiket terbabit. — Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings