the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, June 25, 2026
21.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Pengecualian bayaran bil air mangsa banjir N.Sembilan belum diputuskan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan belum memutuskan berkenaan pengecualian bayaran bil air bagi pemilik akaun yang terjejas akibat banjir setakat ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berharap pengguna dapat memahami beban ditanggung Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) yang kerugian besar berikutan beberapa Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini terjejas teruk seperti LRA Pantai yang mengalami kerosakan dan tidak boleh digunakan lagi.

“Justeru, apabila kita nak kata adakan pengecualian untuk bayaran bil air, SAINS pun sebenarnya alami kerugian agak signifikan dan saya harap mereka memahami tentang perkara ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada SAINS akan mengambil langkah sama seperti Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Selangor yang memberikan pengecualian bayaran bil air bagi Januari ini kepada pelanggan akaun domestik di Selangor yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Aminuddin merangkap Pengerusi SAINS berkata pihaknya perlu mengambil masa untuk membuat penilaian berhubung jumlah sebenar kerugian akibat kerosakan di kebanyakan LRA termasuk di LRA Lakai yang mengalami kerosakan infrastruktur.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata tiga sekolah di negeri ini terjejas akibat banjir iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tanah Merah Site A , Sekolah Rendah Kebangsaan Permatang Pasir di Port Dickson dan Sekolah Menengah Agama Kuala Klawang di Jelebu.

Namun, katanya kesemua sekolah tersebut akan beroperasi seperti biasa pada sesi pembukaan sekolah minggu depan dan pihaknya sedang menunggu laporan penuh daripada Jabatan Pendidikan negeri berhubung kerosakan dialami untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Aminuddin berkata tiada sebarang acara perbarisan kehormatan diadakan bersempena Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ke-74 pada 14 Jan ini, berikutan situasi semasa negara yang masih berdepan pandemik COVID-19.

“Hanya Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat akan dilangsungkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,“ katanya. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings