Polis tumpas sindiket curi motosikal Geng Ajoi dengan tangkapan dua lelaki dan kesan tujuh kes kecurian sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan kegiatan sindiket curi motosikal yang dikenali sebagai Geng Ajoi dengan penangkapan dua lelaki bulan lepas.
Kedua-dua suspek berumur 28 dan 38 tahun ditahan oleh pasukan Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Sentul dalam dua serbuan berasingan pada 26 Oktober.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengesahkan penahanan itu membawa kepada penemuan tiga motosikal yang dilaporkan hilang.
“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek turut terlibat dalam empat lagi kes curi motosikal di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.
Sindiket tersebut dipercayai mula aktif sejak Julai lepas dengan mensasarkan motosikal popular seperti Yamaha Y15, RXZ, 125Z dan LC.
Ahmad Sukarno mendedahkan suspek mencuri motosikal di kawasan apartmen, rumah pangsa dan tempat letak kereta tepi jalan.
Motosikal curian kemudian disembunyikan di kawasan setinggan sebelum dileraikan untuk dijual sebagai alat ganti.
Nilai keseluruhan rampasan polis dianggarkan mencecah RM50,000.
Kedua-dua suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau dan disahkan positif dadah jenis methamphetamine.
Polis berjaya menyelesaikan tujuh kes kecurian motosikal hasil penangkapan kedua-dua suspek tersebut.
Suspek kini direman untuk membantu siasatan lanjut manakala polis meneruskan operasi memerangi kegiatan curi motosikal.
Orang ramai dinasihati lebih berhati-hati ketika meletakkan motosikal di kawasan terbuka.
Maklumat mencurigakan boleh disalurkan ke Bilik Gerakan IPD Sentul melalui talian 03-4048 2222. – Bernama




                                    





