JAIS sahkan SRI Al Afsari tidak berdaftar, menyebabkan 80 murid tidak layak menduduki UPKK 2025 kerana gagal penuhi syarat pendaftaran.
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan Sekolah Rendah Islam (SRI) Al Afsari di Saujana Putra tidak berdaftar dengan jabatan itu.
Status itu menyebabkan 80 murid sekolah berkenaan tidak dibenarkan menduduki Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) tahun ini.
Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata peperiksaan UPKK dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Beliau menegaskan JAIS sebagai badan perantara di negeri itu tertakluk kepada syarat-syarat menduduki peperiksaan yang ditetapkan JAKIM.
“SRI Al Afsari tidak berdaftar dengan JAIS mengikut ketetapan di bawah Seksyen 12 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Selangor) 1988 (Pindaan 2001),” katanya.
“Oleh kerana sekolah tidak berdaftar dengan JAIS, maka JAKIM selaku penganjur peperiksaan UPKK telah tidak memberi laluan kepada pelajar sekolah berkenaan bagi menduduki peperiksaan UPKK Sesi Tahun 2025.”
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media mengenai 80 murid di sebuah sekolah rendah agama swasta di Puchong tidak dapat menduduki UPKK.
Nama mereka tidak didaftarkan sebagai calon peperiksaan antara lain disebabkan sekolah tidak berdaftar dengan JAIS.
Mohd Shahzihan berkata sekolah berkenaan sebelum ini dikenali sebagai SRI Al Fakri dan hanya memperoleh kelulusan penubuhan sementara pada 29 November 2012.
JAIS telah memberi peringatan supaya memohon pendaftaran penuh selepas tempoh sementara tamat.
Bagaimanapun, permohonan hanya dikemukakan semula oleh SRI Al Afsari pada 21 Disember 2023.
JAIS akan mempertimbangkan pendaftaran penuh selepas pihak sekolah mematuhi kurikulum serta syarat ditetapkan.
Syarat termasuk mendapat pengesahan kesihatan dan keselamatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Sekolah juga perlu mendapat kelulusan kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan untuk penukaran status rumah kedai kepada institusi pendidikan.
“SRI Al Afsari tidak dapat didaftarkan di bawah undang-undang kerana masih tidak mendapat sokongan daripada JBPM dan tiada kelulusan PBT untuk kebenaran merancang,” jelas Mohd Shahzihan.
Peperiksaan UPKK dijadual bermula pada 17 hingga 20 November ini. – Bernama









