Bantuan konsular untuk rakyat Malaysia ditahan di luar negara hanya diberi atas permintaan individu, kata menteri, dengan China catat tertinggi 545 tahanan
KUALA LUMPUR: Semua bentuk bantuan kepada rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara bagi kesalahan jenayah hanya diberikan atas permintaan individu berkenaan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bantuan tidak diberikan secara automatik oleh kerajaan.
Beliau berkata bantuan konsular termasuk memaklumkan keluarga tahanan, mengatur khidmat guaman dan memenuhi keperluan asas hanya dilakukan apabila diminta secara rasmi.
“Bantuan diberi apabila pihak berkuasa negara itu memaklumkan kepada pejabat perwakilan kita bahawa rakyat Malaysia ditahan, kita akan pergi berjumpa dan bertanyakan keperluan mereka,” katanya di Dewan Rakyat.
Mohamad menjelaskan setiap tindakan tertakluk kepada peraturan negara terbabit dan prinsip Konvensyen Vienna 1963 mengenai Hubungan Konsular.
Beliau mengakui kadangkala pejabat kedutaan tidak mengetahui penahanan rakyat Malaysia kerana sesetengah negara menghormati hak asasi individu.
“Ada negara yang menghormati hak asasi individu yang tidak mahu memaklumkan kepada kedutaan, sehinggalah mereka meminta untuk maklumkan kepada kita,” jelasnya.
Mengenai peruntukan kewangan, Mohamad berkata kerajaan tidak menyediakan peruntukan khusus bagi melantik peguam untuk tahanan.
Tanggungjawab melantik peguam terletak kepada keluarga individu berkenaan kecuali di negara yang menyediakan khidmat guaman percuma.
Setakat 8 November, seramai 837 rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas kesalahan penipuan dalam talian.
China mencatat jumlah tertinggi penahanan warganegara Malaysia dengan 545 orang diikuti Singapura (162), Jepun (34), Korea Selatan (22), India (20), Indonesia (11) dan Thailand (10).
Daripada jumlah tersebut, 765 orang ialah Cina, diikuti Melayu (34), India (33) dan lima daripada etnik lain. – Bernama






