the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, June 25, 2026
29.2 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Pengembara, kontak rapat sedang kuarantin buat ujian pengesahan Covid-19 untuk pelepasan pada Isnin

KUALA LUMPUR: Semua pengembara dan kontak rapat yang sedang menjalani kuarantin wajib hari kelima dan ke atas serta telah lengkap vaksinasi Covid-19 akan menjalani ujian Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR) bermula hari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin(gambar) berkata mereka yang tidak mengambil vaksin atau tidak lengkap vaksinasi Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin wajib hari kelapan dan ke atas juga boleh menjalani ujian RT-PCR bermula hari ini.

“Sekiranya keputusan ujian pengesanan Covid-19 individu terbabit negatif, mereka akan diberi Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian pada Isnin ini,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pengurangan Tempoh Kuarantin Wajib Pengembara dari luar negara serta Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Rapat berkuat kuasa 18 Okt ini.

Menerusinya, individu yang telah lengkap vaksinasi Covid-19 akan menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari manakala mereka yang tiada atau tidak lengkap vaksinasi Covid-19 perlu menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari.

Khairy menjelaskan mereka yang terlibat dalam pengurangan tempoh kuarantin bermula Isnin ini adalah mana-mana warganegara, pemastautin tetap Malaysia, ekspatriat atau kor diplomatik atau mana-mana orang asing lain yang dibenarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen memasuki Malaysia dari luar negara.

Turut terlibat, kontak rapat kepada kes positif Covid-19 serta individu yang diberi perintah pengawasan dan pemerhatian oleh pegawai diberi kuasa contohnya mereka yang pulang dari kawasan berisiko tinggi berlaku penularan jangkitan seperti yang diumumkan kerajaan.

Khairy berkata garis panduan sedia ada yang berkaitan masih terpakai dan orang awam diingatkan untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Beliau berkata kegagalan untuk mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian itu merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.-Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings