Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan mengelak jawab soalan pembangkang di Dewan Rakyat, menegaskan semua persoalan telah dijawab.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah mengelak daripada menjawab sebarang persoalan Ahli Parlimen pembangkang.
Beliau berkata semua soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri setiap Selasa telah dijawab sama ada olehnya atau menteri berkaitan.
Anwar menyatakan terdapat Ahli Parlimen yang terus mengulangi soalan sama walaupun penjelasan telah diberikan beberapa kali.
“Soalan yang dibangkitkan semua saya jawab… nak kata saya elak, saya tidak elak,” katanya sebelum sesi MQT di Dewan Rakyat.
Beliau menegaskan kesediaannya menjawab apa sahaja soalan yang dikemukakan.
Terdahulu, Ketua Whip Perikatan Nasional Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempersoalkan senarai soalan MQT hari ini yang tidak mengandungi soalan pembangkang. – Bernama






