Ahmad Zahid Hamidi menegaskan urusan susun semula Kabinet hak mutlak PM, tidak pernah dibincang dalam mesyuarat Kabinet.
PUTRAJAYA: Urusan menyusun semula barisan Jemaah Menteri merupakan hak mutlak Perdana Menteri dan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kuasa merombak Kabinet atau melantik anggotanya terletak sepenuhnya di tangan Perdana Menteri.
“Tidak pernah ada perbincangan dalam Kabinet untuk menyusun semula Kabinet… tidak pernah… itu hak mutlak Perdana Menteri yang mempunyai kuasa sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Beliau mengulas sama ada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri petang ini akan membincangkan soal rombakan Kabinet atau hal berkaitan.
Pada 8 November lepas, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengesahkan beliau meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata mesyuarat khas yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini dijadualkan memfokus kepada isu tuntutan pemulangan hak 40 peratus hasil Sabah.
“Ia khusus kepada soal tuntutan 40 peratus yang dipinta oleh sahabat sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri berkata keputusan mengenai tuntutan pemulangan hak 40 peratus hasil Sabah akan dimuktamad dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri hari ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mendengar pandangan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang sebelum membuat keputusan sama ada memfailkan rayuan atau sebaliknya. – Bernama






