PM Anwar Ibrahim pastikan rundingan isu 40% hasil Sabah bermula segera di peringkat teknikal meskipun dalam tempoh pilihan raya negeri
KUALA LUMPUR: Rundingan mengenai isu 40 peratus hasil Sabah akan dimulakan segera di peringkat teknikal dan boleh diteruskan walaupun semasa Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 berlangsung.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan proses rundingan itu tidak akan terjejas meskipun pentadbiran kerajaan negeri kini dijalankan oleh kerajaan sementara.
Beliau berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah menghantar surat kepada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah bagi memulakan sesi rundingan tersebut.
“Memang betul bahawa kerajaan sekarang ini kerajaan sementara tetapi kita tidak mahu dianggap melengah-lengahkan dan prosesnya telah berjalan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Anwar menjelaskan bahawa rundingan teknikal akan membincangkan kandungan penghakiman sebelum dirujuk kepada Menteri Kewangan, Ketua Menteri dan Jemaah Menteri.
Beliau menekankan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu sentiasa dipelihara bagi memastikan semua isu termasuk tuntutan hasil dapat diselesaikan secara rasional.
“Kalau ada kegelisahan yang munasabah, kita harus dengar dan cuba selesaikan,” ujarnya.
Perdana Menteri turut menyeru semua pihak mengekalkan semangat kesatuan dan perpaduan serta mengelak sentimen perkauman sempit.
“Saya harap semangat kesatuan dan perpaduan ini dijaga kerana kalau kita tiupkan isu menghasut, isu perkauman sempit ini, ia hanya akan merugikan,” tegasnya.
Anwar menjelaskan rasional keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung isu pemberian khas 40 peratus hasil Sabah.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) di Parlimen mengenai rayuan kerajaan yang dibuat atas alasan kecacatan dalam isu lain berbanding isu pemberian khas tersebut.
Anwar berkata proses rundingan kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri Sabah bagi mengkaji semula kadar pemberian khas itu telah dilaksanakan ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri.
“Rundingan itu adalah sah dan selaras dengan peruntukan Perkara 112(D) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau menegaskan kenaikan kadar tersebut bukan dibuat secara unilateral oleh kerajaan persekutuan.
“Dengan persetujuan Sabah, kadar tersebut telah dinaikkan pada 2022 sebanyak RM125.6 juta,” jelasnya.
Perdana Menteri berkata pemberian khas RM600 juta itu dipersetujui sebagai interim dan belum dimuktamadkan oleh Sabah dan Sarawak menerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.
“Kita tentu boleh menyegerakan proses ini,” katanya.
Anwar menekankan penjelasan mengenai hasil RM10 bilion dan perbelanjaan RM17 bilion bagi Sabah bukan bertujuan mempertikai tuntutan 40 peratus hasil negeri itu.
Beliau berkata angka itu menunjukkan Sabah sebenarnya menerima manfaat yang jauh lebih besar melalui pelbagai bentuk perbelanjaan persekutuan.
Justeru, Perdana Menteri berkata dakwaan kononnya kerajaan mengabaikan dan menidakkan hak Sabah adalah tidak berasas.
“Umpamanya, dalam MA63 menetapkan kawal selia bekalan elektrik mesti menjadi milik Sabah maka kita sudah serahkan pada Januari 2024,” katanya.
Beliau menambah walaupun ia menjadi milik Sabah, kerajaan persekutuan masih menyediakan RM1.2 bilion untuk keperluan elektrik Sabah.
Anwar juga menyenaraikan peruntukan RM765 juta untuk projek talian penghantaran Southern Link dan pemasangan Solar Hybrid MADANI yang dimulakan di Sabah.
Bekalan air bersih bernilai RM1 bilion sudah disediakan bersama pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.
“Saya menyebut ini nak membezakan antara proses rundingan 40 peratus hasil Sabah yang mesti diteruskan dengan kenyataan yang mendakwa kita mengabaikan Sabah,” katanya. – Bernama






