Mahkamah tangguh perbicaraan rasuah RM2.8 juta Bung Moktar dan isteri ke Januari 2026 atas alasan Pilihan Raya Negeri Sabah 29 November
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan penangguhan perbicaraan kes rasuah melibatkan RM2.8 juta yang dihadapi Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.
Perbicaraan yang sepatutnya berlangsung pada 27 November dan 3 Disember ini ditangguhkan ke 12 hingga 14 Januari 2026.
Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas dimaklumkan pihak pembelaan menghantar surat permohonan penangguhan pada 4 November lepas.
Permohonan penangguhan dibuat atas alasan Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 akan berlangsung pada 29 November ini.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadhly Mohd Zamry memaklumkan perkara itu dalam prosiding sebutan kes hari ini.
Peguam Ridha Abdah Subri mewakili Bung Moktar turut hadir dalam prosiding tersebut.
Pihak pembelaan akan memanggil Zizie Izette untuk memberi keterangan pada prosiding seterusnya.
Bung Moktar didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500.
Dia dituduh menerima rasuah sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette.
Insiden itu berlaku di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.
Selain itu, beliau didakwa menerima suapan RM337,500 daripada ejen pelaburan Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund.
Akaun berkenaan didaftarkan atas nama isterinya bagi tujuan yang sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Jika sabit kesalahan, hukuman maksimum ialah penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda sama. – Bernama






