PDRM digesa manfaatkan teknologi AI untuk tingkat kecekapan operasi, urus data trafik dan selesaikan kompaun tertunggak RM6 bilion
SEPANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan bagi memperkukuh kecekapan dan ketepatan operasi.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata aplikasi AI mampu membantu polis memproses dan menganalisis maklumat dengan pantas.
“Ia termasuk mengenal pasti saman serta kompaun trafik tertunggak yang kini mencecah RM6 bilion,” katanya ketika berucap merasmikan Dialog Khas PDRM IV 2025 di sini hari ini.
Beliau menekankan penggunaan enjin aplikasi AI boleh memproses data kompaun tertunggak dalam masa singkat.
“Dari situ, kita akan dapat data yang lebih tepat dan jernih,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata langkah itu penting bagi memastikan tindakan penguatkuasaan tidak bergantung kepada data lama yang mungkin tidak relevan.
Beliau menambah AI sebagai revolusi teknologi baharu mampu memperkasakan sistem keselamatan, pentadbiran dan penguatkuasaan negara.
“Gunpowder mencetuskan revolusi kuasa, mesin cetak mencetuskan revolusi ilmu, dan sekarang AI membawa revolusi baharu,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata laporan awal insiden bot pendatang tanpa izin yang karam akan dibentangkan di Mesyuarat Kabinet esok.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memintanya membentangkan laporan awal susulan kejadian yang meragut 25 nyawa setakat semalam.
Kejadian pada 6 Nov lepas membabitkan kira-kira 300 penumpang imigran karam di Pulau Tarutao di kawasan perairan sempadan Thailand-Malaysia.
“Itu satu tragedi yang saya kena bentangkan esok, laporan awal kepada Jemaah Menteri,” katanya. – Bernama






