FINAS akan terbit semula karya Hassan Muthalib sebagai rujukan industri animasi tempatan, termasuk buku baharu tahun depan
KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) merancang untuk menerbitkan semula karya dan buku ilmiah tokoh animasi negara, Hassan Muthalib, bagi memastikan warisan beliau terus menjadi rujukan kepada penggiat filem dan animasi tempatan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata karya Bapa Animasi Negara itu akan ditempatkan sebagai koleksi di perpustakaan FINAS bagi membolehkan produser, pengarah dan penggiat industri lain mengakses serta mempelajari teknik, idea dan pengalaman Hassan dalam pembikinan filem dan animasi.
“Hassan banyak menulis karya ilmiah tentang makna filem dan aspek pembikinan filem, malah beliau memaklumkan ada buku baharu yang akan diterbitkan awal tahun depan.
“Sumbangan seperti ini wajar kita dokumentasikan,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi tokoh tersebut di kediamannya menerusi program Ziarah Seni Madani FINAS 2025 hari ini.
Fahmi berkata koleksi buku dan karya Hassan yang terkenal dalam animasi tempatan sejak era 1980-an seperti Sang Kancil dan Sang Monyet, dijangka membantu pelajar, ahli akademik dan penggiat industri memahami sejarah serta asas animasi tempatan.
Pada masa sama, katanya dokumentasi karya Hassan bukan sahaja sebagai mengiktiraf jasa beliau tetapi juga menjadi inspirasi kepada generasi baharu penggiat seni.
“Kita mahu generasi muda bukan sahaja mengenali tokoh-tokoh seperti beliau tetapi juga memahami asas dan sejarah perkembangan animasi dan filem tanah air,” katanya.
Terdahulu, Fahmi turut menyerahkan sumbangan kepada Hassan yang menjalani pembedahan tulang belakang minggu lepas dan sedang menjalani proses pemulihan. – Bernama






