Kerajaan peruntuk RM2 bilion melalui MCMC untuk tingkat liputan internet di Sabah, fokus kolej, universiti dan pejabat kerajaan
KOTA KINABALU: Kerajaan memperuntukkan RM2 bilion melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi meningkatkan kesalinghubungan di Sabah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata peruntukan itu antara lain akan memperluas liputan rangkaian internet dengan keutamaan diberikan kepada kolej, universiti awam dan swasta, serta pejabat kerajaan di negeri ini.
Katanya walaupun projek itu memerlukan sedikit masa, kerajaan komited memastikan rakyat Sabah menikmati akses internet yang lebih baik, terutamanya bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan dan pentadbiran kerajaan.
“MCMC telah menetapkan perbelanjaan sebanyak RM2 bilion untuk tujuan ini. Saya telah umumkan dalam Belanjawan. Projek ini perlukan sedikit masa untuk disiapkan,” katanya pada Sarapan Pagi dan Sembang Santai Pengamal Media Sabah bersama YAB Perdana Menteri di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Mariah Doksil, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarang Daily Express Datuk James Sarda, dan Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah Datuk Lichong Angkui.- Bernama






