DAP bersedia hadapi PRU16 sekiranya diadakan awal, kata Pengerusi DAP Gobind Singh Deo pada Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan
KUALA LUMPUR: DAP bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 sekiranya ia diadakan lebih awal daripada jangkaan.
Pengerusi DAP Kebangsaan Gobind Singh Deo berkata parti itu akan bersedia apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan masa sesuai untuk pilihan raya.
“Apabila Perdana Menteri berpendapat bahawa masanya sesuai dan memanggil pilihan raya, kami dalam DAP akan bersedia,” katanya kepada pemberita.
Beliau berucap selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025.
Mandat Kerajaan MADANI yang dibentuk hasil gabungan parti politik termasuk Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Rakyat Sabah, Gabungan Parti Sarawak dan Warisan akan berakhir pada 2027.
Mengenai Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang sedang berlangsung, Gobind berkata ia menjadi penanda aras kepada PH menjelang PRU16 akan datang.
Dalam ucapannya di konvensyen, beliau menyeru seluruh ahli parti untuk kekal bersatu dan terus berusaha meraih kemenangan.
“Kita mesti terus berpegang teguh pada asas perjuangan kita dan melangkah ke hadapan demi sebuah Malaysia yang lebih gemilang untuk semua,” katanya. – Bernama






