Sunday, November 16, 2025
28.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Kerajaan peruntuk RM1.4 bilion perkasa OKU dalam Belanjawan 2026

Kerajaan peruntuk RM1.4 bilion untuk OKU, termasuk elaun pekerja dan bantuan perniagaan, bagi pastikan tiada yang tertinggal dalam pembangunan negara

KUCHING: Kerajaan MADANI memperuntukkan hampir RM1.4 bilion untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dalam Belanjawan 2026.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata peruntukan itu merangkumi bantuan penjagaan, elaun ketidakupayaan bekerja dan Elaun Pekerja OKU.

“Setiap individu OKU berhak menikmati peluang pendidikan, latihan, pekerjaan, kesihatan dan keusahawanan seperti orang lain agar tiada sesiapa yang tertinggal daripada arus pembangunan negara,” katanya ketika merasmikan Seminar Disability Equality Training (DET) dan Perkhidmatan Job Coach di sini.

Beliau menekankan pendekatan menyeluruh kerajaan daripada pendidikan kepada pekerjaan dan daripada bantuan asas kepada peluang berdikari.

Kementerian Sumber Manusia menyediakan Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU untuk membantu OKU memulakan dan mengembangkan perniagaan.

Kementerian Pendidikan Tinggi turut menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar OKU di institusi pengajian tinggi.

Nancy berkata Disability Equality Training memberi pendedahan untuk memahami isu ketidakupayaan melalui perspektif Model Sosial.

“Cabaran sebenar bukan terletak pada individu OKU, tetapi pada sikap, struktur dan persekitaran yang tidak responsif,” jelasnya.

Seramai 7,426 peserta telah mengikuti DET sejak 2010 hingga 2024.

Program Perkhidmatan Job Coach menjadi jambatan penting bagi memastikan OKU dapat memasuki dunia pekerjaan dengan sokongan yang betul.

Sehingga kini, 976 OKU telah dibimbing dan bekerja dengan 664 majikan di seluruh negara.

Di Sarawak sahaja, seramai 3,477 penerima mendapat manfaat Elaun Pekerja OKU dengan peruntukan berjumlah RM15.28 juta setakat Oktober.

“Elaun RM450 ini sangat membantu OKU berpendapatan rendah,” tambah Nancy.

Beliau bagaimanapun mengakui penggunaan perkhidmatan Job Coach masih rendah antaranya kerana kurang pendedahan. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories