Timbalan Menteri Pengangkutan pastikan tiada pesawat Malaysia Airlines digantung operasi, semua dalam proses penyelenggaraan berkala
KUALA LUMPUR: Tiada pesawat Malaysia Airlines Bhd (MAB) yang digantung operasi akibat masalah teknikal pada masa ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah menjelaskan pesawat yang tidak beroperasi sedang menjalani proses penyelenggaraan berkala.
“Malaysia Aviation Group (MAG) merupakan sebuah entiti perniagaan yang beroperasi secara komersial,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menegaskan segala keputusan operasi termasuk penyelenggaraan pesawat adalah keputusan korporat MAG.
“Kos pembaikan dan penyelenggaraan ditanggung sepenuhnya oleh pihak MAG sebagai sebahagian daripada kos operasi.”
Kementerian Pengangkutan tidak menanggung sebarang kos berkaitan penyelenggaraan pesawat.
MAG merupakan syarikat induk bagi Malaysia Airlines.
Hasbi menjawab soalan Dr Mohammed Taufiq Johari mengenai jumlah pesawat yang tidak beroperasi akibat kerosakan.
Beliau juga berkata sebanyak 4,113 orang jurutera pesawat berkelayakan telah diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.
Daripada jumlah itu, 2,318 orang memegang lesen kategori B1 (mekanikal).
Seramai 879 orang memegang lesen kategori B2 (avionik) manakala 51 orang memegang kedua-dua lesen B1 dan B2.
Sebanyak 865 orang lagi memegang lesen kategori A (juruteknik). – Bernama







