JPN Pulau Pinang pastikan tiada sekolah menengah dijadikan PPS semasa SPM 2025, hanya tiga sekolah rendah digunakan untuk mangsa banjir
NIBONG TEBAL: Tiada sekolah menengah di Pulau Pinang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memastikan kelancaran Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Pengarah Pendidikan negeri Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata hanya tiga PPS beroperasi melibatkan sekolah rendah iaitu SK Lahar Yooi dan SK Pengkalan Jaya di Seberang Perai Utara serta SK Permatang Pasir di Seberang Perai Tengah.
“Pihak setiausaha kerajaan negeri memahami situasi ini dan menggunakan premis sekolah rendah sahaja bagi menguruskan mangsa banjir,” katanya selepas lawatan hari pertama SPM di SMK Jawi.
Beliau menambah JPN memantau keadaan cuaca semasa berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia dan bekerjasama rapat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara.
Taklimat turut diberikan kepada pihak sekolah dan semua agensi terlibat bagi persediaan membantu calon yang berdepan situasi banjir.
Setakat 7.30 malam semalam, lapan calon terlibat dengan banjir tetapi hanya dua masih ditempatkan di PPS SK Lahar Yooi.
Kedua-dua calon berkenaan ialah pelajar SMK Pokok Sena dan akan diuruskan oleh guru untuk mengambil peperiksaan di sekolah tersebut.
Lima calon lain mengambil peperiksaan di hospital swasta dan kerajaan akibat kemalangan serta masalah kesihatan.
Secara keseluruhan, 20,060 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan tahun ini di 156 pusat peperiksaan.
Sebanyak 1,973 petugas dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan SPM 2025. – Bernama







