the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, November 27, 2025
22.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Pengundi Sabah perlu utamakan calon berintegriti dalam PRN – Azalina

Azalina Othman Said menyeru pengundi Sabah pilih calon berintegriti yang kekal dengan parti, elak risiko lompat parti dalam PRN ke-17

KOTA KINABALU: Peningkatan jumlah parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 menuntut pengundi membuat penilaian lebih bijak.

Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said menyeru pengundi memilih calon dan parti yang benar-benar mampu mewakili aspirasi mereka.

Beliau menekankan pentingnya memilih calon yang bebas daripada risiko melompat parti.

“Khidmat ini menjadi satu keutamaan kepada rakyat sebab rakyat kena tahu bahawa lepas mereka undi, esoknya wakil rakyat tu kena bekerja,” katanya.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata tanggungjawab utama setiap calon adalah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau menegaskan perkara ini selaras dengan semangat Akta Lompat Parti yang diwujudkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

“Kalau lebih kepada nak memilih wakil rakyat yang ada potensi nak lompat, ataupun wakil rakyat itu masa pilihan raya baru dia muncul, susah juga rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau program klinik bantuan guaman Justice on Wheels di pekarangan Pasar Awam Tuaran.

Mengenai dakwaan akar umbi BN tidak berpuas hati dengan PH, Azalina berkata beliau tidak mahu melayan dakwaan sedemikian.

Beliau berkata dakwaan sedemikian kadangkala sengaja ditimbulkan musuh politik.

Mana-mana kerajaan negeri yang dipilih rakyat perlu mengekalkan hubungan erat dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau menegaskan Malaysia dibina berasaskan konsep Persekutuan yang memerlukan perbincangan berterusan.

“Tiada kerajaan negeri yang boleh bergerak solo sebab negeri parti pembangkang pun, mesyuarat Menteri Besar, mesyuarat Ketua Menteri pun berlaku setiap-tiap bulan.

“Oleh itu kalau ada banyak parti politik berkempen atas ideologi ‘Sabah untuk Sabahan’ sekali pun, ia masih tidak boleh lari daripada hubungan Sabah dengan kerajaan pusat,” katanya. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories