Lapan lelaki selamat diselamatkan selepas terkandas di Jeti Platform Petron Port Dickson akibat ribut dan laut bergelora.
PORT DICKSON: Lapan lelaki tempatan yang terkandas di Jeti Platform Petron diselamatkan selepas kejadian ribut dan laut bergelora awal pagi tadi.
Mangsa berusia 20-an hingga 50-an terkandas akibat runtuhan di platform jeti selepas dibadai Ribut Tropika Senyar.
Lima mangsa menyelamatkan diri di dalam bot tunda milik Petron manakala dua lagi berada di bot penyelamat pasukan Emergency Respond Petron.
BACA: Lelaki maut disambar petir di jeti Langkawi
Seorang lagi mangsa terkandas di atas jeti dan tidak dapat kembali ke darat akibat keadaan laut bergelora dan angin kuat.
Pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan pengurusan Petron segera ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat.
Kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh bot penyelamat Pasukan Emergency Respond Petron kira-kira jam 3.55 pagi.
Mangsa dikumpulkan di dalam bot tunda dalam keadaan selamat sebelum dibawa ke darat.
Operasi menyelamat tamat pada jam 6 pagi. – Bernama







