KLIA mula penguatkuasaan penuh VAMS hari ini selepas tempoh percubaan berjaya kurangkan kesesakan kawasan tepi jalan terminal.
KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memulakan penguatkuasaan penuh Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) mulai hari ini.
Penguatkuasaan penuh ini dilaksanakan selepas tempoh percubaan selama tiga bulan menunjukkan pengurangan ketara kesesakan di kawasan tepi jalan.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Mohd Izani Ghani berkata tempoh percubaan berjaya mengubah tingkah laku pemandu.
“Data daripada tempoh percubaan menunjukkan bahawa situasi kesesakan di kawasan tepi jalan bertambah baik apabila kenderaan mematuhi had 10 minit,” katanya.
Jumlah kenderaan melebihi tempoh berhenti 10 minit berkurangan daripada 50% kepada 21% sepanjang tempoh percubaan.
Penguatkuasaan penuh di Terminal 1 bertujuan memastikan akses lebih teratur untuk semua pengguna.
VAMS menggunakan Pembaca Nombor Pendaftaran Kenderaan (LPR) untuk merekod masa masuk dan keluar kenderaan secara automatik.
Sistem ini memberikan tempoh tangguh 10 minit sebelum mengenakan denda antara RM10 hingga RM100 maksimum.
Pembayaran denda boleh dibuat melalui Touch ‘n Go, kad kredit atau MyDebit.
Bagi pemandu perlu menunggu lebih lama, beberapa alternatif disediakan termasuk tempat letak kereta jangka pendek dengan 15 minit percuma.
Tempat letak kereta jangka panjang menawarkan 30 minit parkir percuma manakala Kawasan Menunggu Awam KLIA menyediakan zon menunggu percuma.
Penguatkuasaan ini dilaksanakan menjelang musim perjalanan hujung tahun dan persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026. – Bernama







