PM Anwar Ibrahim umum tiada rombakan Kabinet besar-besaran, hanya fokus mengisi beberapa kekosongan menteri berstatus Senator
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada rombakan Kabinet secara besar-besaran akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Beliau menyatakan kerajaan kini hanya memberi tumpuan kepada pengisian beberapa kekosongan yang wujud dalam jemaah menteri.
Anwar menjelaskan pertimbangan semasa menunjukkan tiada keperluan untuk perubahan menyeluruh memandangkan tempoh pentadbiran Kerajaan MADANI hanya berbaki sekitar setahun setengah.
“Kita perlu mengisi beberapa kekosongan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kenderaan Elektrik pertama Perodua.
Beliau menambah rombakan besar tidak sesuai kerana Kabinet ini hanya akan berfungsi untuk tempoh setahun lebih.
“Jadi, saya tidak fikir rombakan besar harus dilakukan,” tegasnya.
Anwar bagaimanapun mengesahkan beliau sedang meneliti langkah-langkah perlu untuk mengisi kekosongan yang ada.
Spekulasi mengenai rombakan Kabinet kembali menjadi tumpuan susulan beberapa menteri berstatus Senator dijangka menamatkan penggal perkhidmatan mereka awal bulan ini.
Antara yang terlibat ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz juga antara yang dijangka terjejas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut dalam senarai tersebut. – Bernama







