18 warga Jepun dan China mengaku tidak bersalah di mahkamah atas tuduhan pakatan jahat menjalankan penipuan dalam talian di Seberang Perai
BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 18 warga Jepun dan China termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan berpakat melakukan penipuan dalam talian.
Pengakuan mereka direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin di hadapan Majistret Roshayati Radellah.
Mereka didakwa melakukan pakatan jahat jenayah menjalankan aktiviti penipuan dalam talian di Taman Bukit Juru, Seberang Perai Tengah pada 20 November lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 120B(2) kanun sama.
Timbalan Pendakwa Raya Zulfadzli Hassan menawarkan jaminan RM10,000 seorang dengan penjamin warga tempatan.
Peguam Mahesh Ananthan yang mewakili semua tertuduh merayu jaminan lebih rendah kerana mereka menyara keluarga di negara asal dan memberi kerjasama kepada polis.
Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warga tempatan.
Mahkamah juga mengarahkan pasport diserahkan dan menetapkan 3 Februari 2026 bagi sebutan semula kes.
Pada 20 November, polis menahan 18 warga asing itu selepas menggempur dua banglo di Simpang Ampat, Batu Kawan.
Lokasi itu dijadikan sebagai pangkalan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon dengan menyamar sebagai polis dari Jepun. – Bernama







