Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat ke majlis bacaan Yasin dan tahlil di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah sempena ulang tahun keputeraan baginda ke-80
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat bersempena ulang tahun hari keputeraan baginda ke-80.
Turut berangkat Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Keberangkatan tiba baginda di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di sini disambut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir dan Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Datuk Muhammad Farhan Wijaya.
Bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh Anhar itu disertai kira-kira 1,000 jemaah termasuk barisan kepimpinan kerajaan negeri serta pegawai dan anggota pasukan keselamatan yang bertugas di Selangor.
Sultan Sharafuddin kemudian menunaikan solat Jumaat dan mendengar khutbah bertajuk ‘Kesejahteraan Ummah di Bawah Naungan Sultan Berdaulat’ yang disampaikan Muhammad Farhan yang turut mengimamkan solat Jumaat.
Antara lain khutbah itu menjelaskan bahawa institusi kesultanan dalam Islam tidak hanya dilihat dari lambang takhta dan kedudukan sahaja tetapi ia merupakan pasak kepada keadilan sesebuah pemerintahan.
Khutbah turut menyentuh peranan Sultan sebagai Ulil Amr (pemerintah) yang memikul amanah besar dalam memelihara agama, menyatupadukan rakyat dan memastikan keadilan pemerintahan.
Khutbah ditutup dengan pesanan agar rakyat menghayati peranan Ulil Amr, menyokong usaha pembangunan negeri dan mensyukuri nikmat keamanan disamping mendoakan kesejahteraan berterusan buat Sultan Sharafuddin serta seluruh rakyat jelata di bawah naungan kepimpinan baginda. – Bernama







