Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ulangi keperluan had umur 16 tahun untuk media sosial bagi lindungi kanak-kanak daripada risiko eksploitasi dalam talian
PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sekali lagi menekankan keperluan pelaksanaan had umur 16 tahun untuk penggunaan media sosial bagi melindungi golongan kanak-kanak dan remaja daripada risiko dieksploitasi atau didedahkan dengan perkara yang tidak patut dalam talian.
Berkongsi insiden seorang murid seawal usia 10 tahun meminta gambar tidak senonoh daripada gurunya menerusi WhatsApp, Fahmi berkata hal itu adalah antara contoh jelas yang menunjukkan keperluan sekatan media sosial bagi golongan muda.
Beliau berkata kejadian itu dimaklumkan sendiri oleh seorang guru dari Kuala Lumpur yang mengadu bahawa murid tahun empatnya telah menghantar mesej menerusi aplikasi pemesejan itu.
“Kita berharap isu seperti ini dapat diatasi dengan sekatan terhadap platform media sosial dan sistem pemesejan seperti WhatsApp. Kita bukan nak halang semua aplikasi, tetapi pada waktu ini kita lihat adalah media sosial.
“Saya percaya pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia maklum tentang perkara-perkara seperti itu (insiden murid minta gambar guru),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Mega Kempen Internet Selamat 2025 di Pusat Pameran dan Konvensyen IOI City Mall, di sini hari ini. – Bernama







