Bekas Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad, meninggal dunia pada usia 81 tahun, disifatkan sebagai kehilangan besar kepada umat Islam di Malaysia.
KUALA LUMPUR: Pemergian bekas Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad, merupakan satu kehilangan besar kepada umat Islam di negara ini, menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata Allahyarham bukan sahaja dikenali sebagai Imam Besar Masjid Negara paling lama berkhidmat tetapi juga seorang pendidik, mursyid dan tokoh al-Quran yang mencurahkan ilmunya tanpa jemu.
“Khidmat beliau sebagai hakim Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa turut mengangkat martabat negara di mata dunia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid memuji keperibadian tokoh agama yang amat dihormati itu sebagai insan yang lembut tutur kata, tinggi ilmu dan besar jasanya dalam memartabatkan al-Quran, ilmu dan dakwah.
Beliau turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan ketabahan untuk mereka.
Allahyarham Syaikh Ismail merupakan Tokoh Maal Hijrah 1443H/2021 Peringkat Kebangsaan dan berkhidmat sebagai Imam Besar Masjid Negara dari 2007 hingga 2019.
Beliau meninggal dunia pada usia 81 tahun awal pagi tadi.







