Timbalan menteri tegaskan syarikat ejen pemungut hanya kutip bayaran, tidak akan sentuh atau ambil alih aplikasi MyJPJ milik JPJ.
KUALA LUMPUR: Pelantikan syarikat sebagai ejen pemungut bagi beberapa urusan pengangkutan tidak akan menjejaskan atau mengambil alih sistem MyJPJ.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah menegaskan syarikat berkenaan hanya berperanan sebagai pemungut yang dilantik bagi pihak kerajaan.
“Mereka adalah pemungut sahaja. Mereka tiada kaitan dengan MyJPJ… tidak akan sentuh, tidak akan diusir ataupun MyJPJ diambil alih oleh Rider Gate ini,” katanya di Dewan Negara.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Ng Keng Heng berhubung isu tersebut.
Hasbi berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melaksanakan pelbagai proses pendigitalan melalui aplikasi MyJPJ.
Ini termasuk notifikasi tamat tempoh lesen, urusan pembaharuan serta pembayaran.
Beliau berkata langkah itu meningkatkan ketelusan dan mengurangkan risiko kesilapan manual.
Mengenai soalan asal oleh Senator Datuk Salehuddin Saidin, Hasbi menyentuh pendekatan penggunaan teknologi moden dalam penguatkuasaan.
Beliau berkata penggunaan alat perakam badan (BWC) adalah bagi meningkatkan integriti dan ketelusan.
JPJ juga akan meneruskan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Terdapat juga cadangan penggunaan High-Speed Weigh-in-Motion (HSWIM) untuk mengesan kesalahan lebih muatan.
Pada masa sama, kementerian merancang pembangunan pangkalan data pemandu kenderaan berat.
Ini bagi memastikan hanya mereka yang memenuhi syarat keselamatan dilantik oleh syarikat pengendali.
Menjawab kebimbangan kos, Hasbi menyatakan harga alat perakam badan mencecah kira-kira RM23,000 seunit.
Beliau berkata harga pasaran bagi peralatan keselamatan dijangka menurun apabila penggunaannya semakin meluas. – Bernama







