Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan atlet Malaysia di Sukan SEA Bangkok selamat, ketegangan Thailand-Kemboja hanya di sempadan
SEREMBAN: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan memastikan kontinjen negara di Sukan SEA di Bangkok, Thailand, tidak perlu risau dengan keselamatan mereka.
Beliau berkata situasi di Bangkok dan Chonburi adalah selamat walaupun ketegangan antara Thailand dan Kemboja berterusan.
“Atlet negara di Sukan SEA di Bangkok dan ibu bapa tidak perlu risau, pertempuran itu cuma di kawasan sempadan sahaja, ia tidak melibatkan kawasan-kawasan lain,” katanya.
Mohamad memberikan jaminan itu selepas menyerahkan bantuan peringkat Parlimen Rembau di Seremban hari ini.
Sukan SEA 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di Thailand.
Sukan Para ASEAN 2025 pula dijadualkan bermula dari 20 hingga 26 Januari tahun depan.
Malaysia menghantar 1,142 atlet disertai 515 pegawai bagi Sukan SEA 2025.
Bagi APG 2025, kontinjen negara melibatkan 236 atlet dan 117 pegawai.
Negara menetapkan sasaran 200 pingat tanpa mengira warna untuk temasya Sukan SEA.
Beberapa acara sukan telah pun bermula sejak minggu ini. – Bernama







