Seorang peniaga dan pemandu lori ais didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah memperdayakan seorang wanita melibatkan wang sumbangan RM800.
KANGAR: Seorang peniaga dan seorang pemandu lori ais masing-masing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Mereka mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan memperdayakan seorang wanita melibatkan wang sumbangan berjumlah RM800.
Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi turut memerintahkan peniaga Azizi Ahamad, 50, dan pemandu lori ais Syaharizul Sahar, 46, menjalani hukuman penjara empat bulan. Hukuman itu dikenakan jika mereka gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman denda RM2,000 dan penjara dua bulan turut dikenakan bagi setiap pertuduhan pilihan jika gagal membayar.
Kedua-dua lelaki didakwa bersama-sama memperdayakan wanita berusia 32 tahun itu.
Mereka mendakwa wang sumbangan RM800 akan diserahkan kepada orang kampung di Kampung Bakau berhubung projek naik taraf jalan.
Wang itu bagaimanapun tidak diserahkan kepada orang kampung terbabit.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada 3 Sept 2004 dan 4 Sept tahun sama di Kampung Bakau.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, wanita itu pergi ke Tapak Projek Kampung Bakau untuk berjumpa dengan Azizi dan Syaharizul pada 3 Sept 2024.
Wanita berkenaan menyerahkan dokumen Siap Kerja kepada Azizi untuk mendapatkan tandatangannya selaku Pengerusi MPKK di kampung itu.
Dalam perjumpaan itu, Syaharizul meminta wang daripada mangsa sebanyak RM1,000 atas alasan untuk memberikan sumbangan kepada orang kampung.
Wanita itu kemudiannya memberikan RM300 kepada Azizi, namun Syaharizul memberitahu mangsa bahawa wang itu tidak mencukupi.
Pada 4 Sept 2024, wanita itu hadir di Pejabat SPRM Negeri Perlis dan pegawai SPRM membuat rakaman suara ke atas nombor telefon Azizi.
Hasil rakaman itu, Azizi bersetuju menerima RM500 sebelum wang perangkap diserahkan kepada suami wanita berkenaan.
Semasa tangkapan, wang perangkap tersebut berada dalam poket seluar sebelah kanan Azizi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Fariz Abdul Hamid dan Pegawai Pendakwa SPRM Perlis S. Sujatha.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Nur Ayuni Ahmad.








