the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, December 19, 2025
22.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Malaysia untuk semua tanpa prejudis: Aidi Amin

Timbalan Setiausaha Agung PKR tekankan perpaduan negara penting hadapi cabaran masyarakat majmuk

PETALING JAYA: Timbalan Setiausaha Agung PKR, Aidi Amin, menegaskan bahawa perpaduan negara hanya dapat dicapai melalui pendekatan holistik yang meletakkan semangat kenegaraan sebagai teras dalam menghadapi cabaran sebagai sebuah masyarakat majmuk.

Dalam satu kenyataan hari ini, Aidi menyuarakan kebimbangan terhadap rapuhnya semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia yang boleh dengan mudah dipecah-belahkan oleh pihak tertentu.

“Adakah semangat kebersamaan kita semakin rapuh hingga begitu mudah untuk melaga-lagakan satu sama lain? Pentas politik objektifnya untuk mendapatkan sokongan pengundi, tetapi adakah martabat manusiawi kita begitu rendah sehingga sanggup memecah-belahkan umat melalui politik kebencian?” soalnya.

Aidi turut menyentuh pencapaian kerajaan selama tiga tahun lalu yang menurutnya terlepas pandang kerana sifat manusia yang sukar dipuaskan hati. Beliau mengakui walaupun belum sempurna, keazaman kerajaan untuk mengejar kesempurnaan adalah lebih jelas berbanding sebelum ini.

Dari segi ekonomi, beliau merujuk kepada pencapaian Malaysia yang berkembang sebanyak 5.2% pada suku ketiga tahun ini, iaitu peningkatan suku tahunan paling kukuh sejak 2022. Negara berada di landasan baik untuk mencapai sasaran pertumbuhan tahun penuh antara 4.0 hingga 4.8%.

“Hubungan dagang dengan dua negara utama Amerika Syarikat dan China, memerlukan pendekatan pragmatik dan berdiplomasi di mana realitinya kita harus mengukur baju di badan sendiri,” katanya, sambil mengkritik pihak yang melihat hasil rundingan dari sudut mikro untuk dijadikan senjata politik.

Menyentuh isu pendidikan, Aidi menegaskan bahawa pembangunan sahsiah secara menyeluruh adalah penting, bukan sekadar bergantung kepada sukatan pelajaran di sekolah.

Beliau dengan tegas menyatakan penguasaan bahasa kebangsaan tidak harus dipertikaikan kerana ia adalah nadi perpaduan. Namun, kewujudan bahasa ibunda juga diraikan dengan tanggungjawab bersama untuk memupuk semangat perpaduan.

“Jangan biarkan diri termakan hasutan dengan meremehkan perkara dasar kerana kita semua mahukan yang terbaik bagi masa depan anak-anak,” tegas beliau.

Aidi mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak leka dengan nikmat kebebasan yang dinikmati di tanah air sehingga melupakan pengorbanan generasi sebelumnya.

“Setiap kepelbagaian harus diraikan dengan meyakinkan anak-anak kita bahawa Malaysia adalah untuk semua tanpa prejudis,” katanya.

Beliau menyeru rakyat Malaysia untuk menunjukkan amalan yang membawa keberkatan dan memberikan keyakinan kepada generasi akan datang bahawa negara tidak akan bertoleransi dengan sebarang kezaliman dan kedayusan puak yang cenderung memecah-belahkan masyarakat demi kepentingan diri.

Kenyataan Aidi itu diakhiri dengan seruan “Syukur bersama. Seiring melangkah” sebagai lambang perpaduan yang diperlukan dalam membina Malaysia yang lebih kuat dan harmoni.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories