the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, December 20, 2025
25.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Polis dedahkan 3 modus operandi utama sindiket dadah

PDRM kenal pasti tiga taktik utama penyeludupan dadah: transit laut dalam, keldai dadah dan penyalahgunaan kontena pelabuhan.

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti tiga modus operandi utama yang sering digunakan sindiket untuk menyeludup dadah.

Taktik itu adalah transit di perairan laut dalam, memperalatkan keldai dadah dan menyalahgunakan perkhidmatan kontena di pelabuhan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata tiga taktik itu dikenal pasti hasil analisis operasi dan risikan dari Januari hingga Khamis lepas.

Bagi modus operandi transit di perairan laut dalam, sindiket biasanya menggunakan bot nelayan untuk mengambil bekalan dadah dari kapal induk.

“Antara kejayaan ialah OPS Gombe pada 23 April hasil maklumat penyeludupan dari Golden Triangle ke Australia di perairan Terengganu,” katanya.

Operasi itu menahan dua lelaki tempatan dan merampas 590 kilogram methamphetamine serta heroin base dianggarkan bernilai RM24.9 juta.

Hussein berkata sindiket turut merekrut individu untuk dijadikan keldai dadah melalui media sosial dan aplikasi komunikasi.

“Individu terbabit dijanjikan pakej percutian percuma serta gaji lumayan namun dijadikan keldai,” katanya.

Taktik itu melibatkan menyembunyikan dadah pada badan, menelan ketulan dadah atau menyimpan dalam bagasi.

Bagi modus operandi menggunakan kontena, sindiket menyalahgunakan sistem penghantaran kargo antarabangsa dengan mengisytiharkan barangan sah.

Mereka kemudian membawa masuk atau menghantar keluar dadah dalam jumlah besar.

Kejayaan membanteras modus operandi itu dibuktikan menerusi OPS Borzoi pada 25 Januari.

Operasi bersama Australian Federal Police (AFP) itu merampas 33,200 kg methamphetamine bernilai RM1.06 bilion untuk pasaran Sydney.

OPS Virola pada 7 November pula berjaya mengesan penyeludupan methamphetamine dari Timur Tengah yang transit di Pelabuhan Klang.

Operasi itu membawa kepada rampasan 45 kg methamphetamine bernilai RM1.44 juta.

Bagi tempoh sama, JSJN menumpaskan 270 sindiket pengedaran menerusi 609 operasi.

Sebanyak 737 individu ditahan dan 19 makmal dadah diserbu dengan 52 individu termasuk empat ahli kimia ditahan.

Polis merampas 215 tan dadah dan racun dengan nilai pasaran dianggarkan RM3.1 bilion.

Sebanyak 234,567 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

Ia melibatkan 255,248 tangkapan dengan 67% kes telah dituduh di mahkamah.

Tindakan melumpuhkan kewangan sindiket menyaksikan RM141 juta aset disita dan RM29 juta dilucutkan hak.

Seramai 808 individu ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

2025 Annual Claims Data Report: Bridging Information Gaps with Full Disclosure

HONG KONG SAR - Media OutReach Newswire -19 December 2025 - HKAccidentLawyers.com and the HKCivilClaim.com today released the 2025 Annual Claims Data Report, providing summaries for each key data point to enhance legal literacy among accident victims.
spot_img

Popular Categories