Sistem e-Kehakiman Malaysia meningkatkan kecekapan dan akses keadilan dengan mengurangkan kehadiran fizikal dan mempercepatkan pengurusan kes.
KUALA LUMPUR: Sistem e-Kehakiman memainkan peranan penting dalam transformasi digital kehakiman negara.
Platform yang mula dilaksanakan pada 2011 itu meningkatkan kecekapan pengurusan kes dan memperluas akses keadilan.
Pengarah Bahagian e-Kehakiman Harmi Thamri Mohamad @ Shaharudin berkata sistem ini antara langkah transformasi untuk mengatasi isu peningkatan kes dan kelewatan pelupusan.
Ia mempunyai beberapa komponen utama termasuk Sistem Pengurusan Maklumat (CMS), Sistem e-Filing (eFS) dan Portal e-Kehakiman.
Sistem e-Filing hanya boleh diakses oleh peguam dan agensi kerajaan, manakala CMS untuk pengguna di mahkamah.
“Sistem e-Filing juga dilengkapi dengan modul e-Review, sebuah platform digital yang boleh digunakan untuk menghadiri prosiding kes sivil secara dalam talian,” katanya.
Sebelum modul ini diperkenalkan, peguam dan pegawai agensi dikehendaki hadir ke mahkamah bagi setiap prosiding.
Bagi orang awam dan syarikat persendirian, komponen yang boleh diakses secara terus ialah Portal e-Kehakiman.
Susulan pelaksanaan sistem, jumlah kesesakan pelanggan di mahkamah berjaya dikurangkan.
Prosiding mahkamah secara fizikal kini hanya tertumpu pada kes jenayah dan perbicaraan penuh kes sivil sahaja.
“Pengguna tidak lagi terikat kepada lokasi atau waktu operasi mahkamah yang terhad kepada waktu pejabat, menjimatkan masa dan kos,” kata Harmi Thamri.
Mereka boleh mengakses sistem pada bila-bila masa tanpa perlu berada di premis mahkamah, khusus bagi urusan pemfailan.
Sistem ini juga mengurangkan keperluan kehadiran fizikal ke mahkamah kerana pihak-pihak kini boleh menyertai prosiding secara jarak jauh.
Pendekatan ini membantu mengurangkan kesesakan yang lazimnya membebankan operasi mahkamah.
Pengurangan kehadiran peguam, pihak terlibat dan orang awam di mahkamah terbuka turut mewujudkan suasana perbicaraan yang lebih fokus.
Mahkamah juga berupaya beroperasi secara lebih optimum.
Dengan pelaksanaan sistem e-Kehakiman, semakan dokumen, carian fail dan senarai kausa juga boleh dilakukan secara dalam talian.
Ini memudahkan urusan tanpa kehadiran fizikal.
“Pihak-pihak boleh menyelesaikan isu pra-perbicaraan secara dalam talian dengan lebih cepat, sekali gus mempercepatkan perjalanan kes,” jelasnya.
Semasa perbicaraan, mahkamah dan pihak terlibat merujuk salinan digital dokumen yang difailkan tanpa perlu menyemak dokumen fizikal.
Sebelum pelaksanaan sistem itu, semua pihak yang ingin membuat pemfailan dokumen perlu hadir ke mahkamah.
Mereka perlu mengemukakan dokumen ke kaunter Pejabat Pendaftaran Mahkamah yang berkenaan.
“Pemfailan secara manual ini banyak kelemahan, antaranya kehilangan atau kerosakan salinan dokumen yang difailkan,” katanya.
Pemfailan dokumen pada saat akhir juga menyumbang kepada kegagalan dokumen tersebut disertakan dalam fail fizikal mahkamah.
Pada 2016, Badan Kehakiman memulakan pembangunan sistem e-Kehakiman fasa dua untuk kes sivil dan jenayah.
Pada asalnya, ia diperluas untuk 20 lokasi mahkamah sahaja.
Setelah pembangunan sistem fasa dua ini selesai, penggunaannya telah diperluas secara berperingkat ke semua lokasi mahkamah di Semenanjung Malaysia.
Badan Kehakiman kini dalam proses untuk membangunkan sistem e-Kehakiman fasa tiga yang memfokuskan kepada pembangunan modul baharu.
“Sistem fasa tiga dijangka dilaksanakan pada pertengahan 2027,” kata Harmi Thamri.
Peguam Ahmad Shamil Azad berkata sistem e-Kehakiman memudahkan urusan peguam apabila terdapat pendengaran ringkas.
“Sebagai contoh, peguam dari negeri lain hanya menghadiri prosiding secara e-Review bagi kes di Kuala Lumpur tanpa perlu melakukan perjalanan jauh,” kata bekas majistret Sungai Siput itu.
Beliau berkata bagi kes jenayah, tiada perubahan besar terhadap prosiding pendengaran kerana kebanyakan prosiding masih dijalankan di mahkamah terbuka.
Bagaimanapun, sistem digital itu memudahkan peguam menyerahkan surat kepada mahkamah dan bahan bukti disimpan secara lebih selamat.
“Dokumen diimbas dan dimuat naik terus ke dalam sistem,” katanya sambil menambah risiko kehilangan dokumen atau surat tercicir kini jauh lebih rendah.
Peguam Putera Muhammad Nor Hashim pula berkata dengan pelaksanaan sistem itu, pihak yang terlibat tidak perlu berurusan dengan banyak borang secara fizikal.
“Kebanyakannya akan dijana secara automatik sekiranya dimohon dalam sistem berkenaan,” katanya.
“Penetapan tarikh, semakan status dan penyampaian notis kini lebih pantas tanpa perlu berinteraksi manual bersama pegawai mahkamah.
Proses lebih cepat dan kurang penangguhan,” jelasnya. Sekiranya ada penangguhan kes, pemakluman boleh dilakukan dengan lebih awal tanpa pihak-pihak perlu hadir ke mahkamah.
Beliau menambah kos perjalanan dan cetakan akan berkurangan kerana sistem itu lebih berpaksikan secara digital.
Wartawan sebuah portal berita, Faisal Asyraf Mohd Rofli berkata sistem itu memudahkan pengamal media membuat persiapan dan menyusun jadual liputan lebih awal.
“Lebih-lebih lagi jika kes melibatkan individu berprofil tinggi,” katanya.
“Dengan adanya sistem sedemikian memberi ruang kepada media untuk membuat liputan selari dengan peranannya sebagai ‘third force’ di dalam negara.
Jika dahulu wartawan perlu ‘check’ kes di kaunter pendaftaran kes dan mahkamah satu persatu, kini semuanya di hujung jari,” ujarnya.
Pembantu operasi sebuah syarikat, Mimi Khamiza Zainudin, 32, berkata sistem e-Kehakiman banyak membantu orang awam mengakses perkhidmatan kehakiman secara dalam talian tanpa perlu hadir ke mahkamah.
Ini termasuk semakan status kes, muat turun dokumen tertentu dan permohonan atau pendaftaran kes.
“Sebagai contoh kes saman trafik, orang awam boleh semak saman, tarikh sebutan kes atau keputusan melalui sistem e-Kehakiman tanpa perlu beratur lama di kaunter,” katanya.
Beliau menambah ini mengurangkan kos pengangkutan dan masa menunggu serta proses menjadi lebih cepat dan efisien.








