the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, December 21, 2025
24.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia dilaksanakan tahun depan

Kerajaan lancar Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia, beri insentif RM50,000 kepada 10 institusi terbaik mulai tahun hadapan

BAGAN DATUK: Kerajaan hari ini melancarkan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM), yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata SPTM itu bertujuan memperkasakan kualiti pendidikan tahifz dan menjadi mekanisme pengiktirafan kepada huffaz dan institusi tahfiz.

Beliau berkata di bawah inisiatif itu, antaranya sebagai galakan kepada budaya kecemerlangan, dan 10 institusi tahfiz terbaik yang mencapai prestasi cemerlang berdasarkan kriteria SPTM akan diberikan insentif RM50,000 setiap satu.

“Ini bukan sekadar angka, bukan sekadar wang ringgit, tetapi ini satu suntikan motivasi agar institusi tahfiz terus mempertingkatkan kualiti dan juga amalan terbaik serta menjadi institusi cemerlang supaya kita ketengahkan sebagai model institusi tahfiz Malaysia, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Huffaz 2025 & Simfoni Dakwah Nusantara “Warisan Qurani, Membina Generasi Rabbani” di Masjid Tuminah Hamidi, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. 

Lebih 25,000 huffaz dari seluruh negara termasuk orang ramai menyertai himpunan berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata di bawah Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN), ekosistem pendidikan tahfiz akan terus diperkasakan menerusi dasar, standard dan tadbir urus yang jelas.

“Melalui DPTN 1.0 telah mendapati sebanyak 84 peratus dasar-dasar itu telah diselaraskan, dilaksanakan di seluruh maahad tahfiz di negara kita.

“Dari segi pendidikan tahfiz sebagai satu ekosistem pendidikan yang baharu, kini terdapat 1,401 institusi tahfiz yang melibatkan 10,081 asatizah atau guru dan sebanyak 61,494 pelajar terlibat dalam ekosistem pendidikan tahfiz atau menjadi huffaz baharu. Alhamdulillah,” katanya.

Beliau berkata melalui DPTN 2.0, beberapa instrumen penting telah diperkukuh termasuk pembangunan Model Pendidikan Tahfiz Malaysia (MPTM).

“… dan juga melakukan pemantapan Sijil Tahfiz Malaysia 2.0 dengan pelaksanaan Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB), juga menyediakan skim pembiayaan huffaz, serta usaha penyelarasan STM (Sijil Tahfiz Malaysia) ini bagi melahirkan huffaz yang berdaya saing, berkemahiran, dan relevan dengan keperluan semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berkongsi pencapaian pendidikan tahfiz yang dilahirkan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan di negara ini, termasuk di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

“Saya ingin berkongsi dengan para hadirin sekalian. Di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Fakulti Aeroangkasa yang 90 peratus pelajarnya terdiri huffaz.

“Fakulti Kejuruteraan Marin pula sebanyak 93 peratus pelajarnya terdiri daripada mereka telah menjadi huffaz. Bukan sekadar itu, di UNITEN (Universiti Tenaga Nasional) terdapat 534 huffaz yang mengikuti kursus kejuruteraan, sama ada kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik atau kejuruteraan mekanikal.

“Keputusan peperiksaan pelajar-pelajar ini kebanyakannya memperoleh CGPA 3.5 dan ke atas. Ini merupakan satu pencapaian yang baik,” katanya.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut menyaksikan pemeteraian 10 Memorandum Persefahaman (MoU) strategik antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) denganagensi agama negeri, IPT dan institusi kemahiran.

Mou itu melibatkan tiga program utama, iaitu Program Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat, Sijil Perakuan Hafazan Bertahap dan Program Pensijilan Hafazan Bertahap.

Majlis himpunan turut diserikan dengan ceramah daripada pendakwah terkenal Nusantara, Ustaz Prof Dr Abdul Somad Batubara.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories