Bandar raya Kuching diserikan dengan cahaya Jalur Gemilang di bangunan ikonik sebagai sokongan dan semangat untuk Sukan SEA 2027
KUCHING: Bandar raya Kuching diserikan dengan pancaran cahaya bertemakan warna Jalur Gemilang sebagai tanda sokongan dan semangat kepada Sukan SEA.
Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) memaklumkan inisiatif itu juga dibuat bagi meraikan bandar berkenaan selaku antara tuan rumah Sukan SEA 2027.
Pencahayaan Jalur Gemilang itu dipancarkan dari Bangunan DBKU, Jambatan Satok, Jambatan Darul Hana serta beberapa bangunan ikonik lain di sekitar bandar raya Kuching.
Ia akan berlangsung selama seminggu sehingga sambutan tahun baharu 2026, melambangkan kesinambungan sokongan rakyat terhadap penganjuran Sukan SEA 2027.
Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Hilmy Othman berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen dan kesediaan Kuching selaku tuan rumah majlis pembukaan Sukan SEA 2027.
Beliau berkata ia juga menzahirkan kebanggaan warga Kuching terhadap penganjuran temasya sukan itu.
“Usaha ini dijangka dapat meningkatkan keterlihatan temasya itu di peringkat nasional, membangkitkan semangat kesukanan dalam kalangan rakyat serta memupuk rasa bangga terhadap peranan negeri sebagai penganjur bersama,” katanya.
Hilmy berharap inisiatif ini dapat menyemarakkan lagi semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata ia juga memperkukuh imej Kuching sebagai bandar raya berdaya saing, progresif dan bersedia menjadi tuan rumah kepada penganjuran Sukan SEA 2027.








