Seorang warga emas berusia 67 tahun kerugian RM399,832 selepas ditipu sindiket penipuan panggilan yang menyamar sebagai pegawai polis dan pendakwaraya
MUAR: Seorang warga emas mengalami kerugian hampir RM400,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon.
Mangsa berusia 67 tahun itu ditipu oleh individu yang mendakwa dirinya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata kejadian bermula apabila mangsa menerima panggilan daripada penyamar ejen insurans.
Pemanggil kemudiannya menyamar sebagai pegawai polis dan pendakwaraya dalam panggilan susulan.
Mangsa kemudiannya diminta membuat laporan polis secara dalam talian dan membuka akaun bank baharu atas nama siasatan Bank Negara.
Dia kemudiannya diarahkan memindahkan sejumlah wang hampir RM400,000 ke dalam akaun berkenaan.
“Selepas transaksi dilakukan, dia sekali lagi diminta membuat pindahan wang sebagai jaminan dan untuk caj peguam,” kata Raiz.
Mangsa mula curiga selepas menyemak baki akaun bank baharunya dan mendapati wangnya berkurangan.
Baki dalam akaun itu hanya tinggal RM168 selepas semua pindahan wang dilakukan.
Laporan polis telah dibuat dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Raiz turut menasihatkan orang ramai supaya memberi peringatan kepada ahli keluarga tentang modus operandi penipuan dalam talian.








