Keadaan banjir di Pahang semakin pulih dengan hanya 86 mangsa di pusat pemindahan, walaupun paras Sungai Pahang di Paloh Hinai masih melepasi aras bahaya.
KUANTAN: Situasi banjir di Pahang semakin pulih dengan hanya 86 mangsa daripada 29 keluarga berada di lima pusat pemindahan sementara (PPS) petang ini.
Bilangan itu menurun daripada 194 mangsa daripada 58 keluarga yang dilaporkan pada pagi tadi.
Menurut aplikasi Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, 21 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Semangat, Kuantan.
Di Maran pula, 35 mangsa daripada enam keluarga berada di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian.
Di Pekan, 30 mangsa daripada 17 keluarga berlindung di tiga PPS berbeza.
Laman web infobanjir melaporkan paras Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan masih melepasi aras bahaya setakat 3 petang.
Hujan lebat berterusan minggu lepas mengakibatkan beberapa daerah dilanda banjir.
Mangsa yang dipindahkan ke PPS sebelum ini direkodkan melebihi 13,000 orang.








