Tiga sekeluarga dan seorang artis Singapura didakwa di mahkamah Johor Bahru atas pergaduhan di pusat beli-belah, dengan seorang mengaku bersalah.
JOHOR BAHRU: Tiga sekeluarga dan seorang artis dari Singapura telah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pergaduhan di sebuah pusat beli-belah pada Ahad lepas.
Chua Chin Heng, 56, Loe Sou Peng, 55, dan Axl Chua Kai Jun, 27, meminta dibicarakan atas pertuduhan mereka di hadapan Majistret A. Shaarmini.
P. Suresh, 46, yang juga seorang penyanyi kelahiran Singapura, mengaku bersalah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Ketiga-tiga beranak itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Suresh di sebuah pusat beli-belah di Jalan Serigala pada 5.17 petang 21 Disember lepas.
Suresh pula didakwa memukul Chua di lokasi dan masa yang sama.
Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000.
Shaarmini membenarkan ketiga-tiga beranak itu diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warga Malaysia.
Beliau menetapkan 27 Januari depan untuk sebutan semula kes mereka.
Nabilah mengenakan denda sebanyak RM1,500 terhadap Suresh.
Chua dan Suresh turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu berkelakuan tidak senonoh dengan bertengkar di kawasan Balai Polis Larkin pada 6.15 petang hari yang sama.
Chua meminta dibicarakan manakala Suresh mengaku bersalah atas pertuduhan kedua itu di hadapan Shaarmini.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Shaarmini menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia bagi Chua.
Suresh didenda RM400 atas pertuduhan kedua itu.








